Filipina lanjutkan sekatan COVID-19 hingga pertengahan Ogos
MANILA,. Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, melanjutkan sekatan COVID-19 di ibu kota negara itu sehingga pertengahan Ogos ini.
Beliau turut mengumumkan Filipina akan diberi keutamaan dari segi pembekalan jika China berjaya menghasilkan vaksin bagi virus itu.
Bulan ini Filipina merekodkan lonjakan kes jangkitan dan kematian harian terbesar di Asia Tenggara, sehingga membebankan pekerja kesihatan dan hospital di beberapa bandar.
Sejak Jun lalu, wilayah sekitar Manila, termasuk di selatan dan bandar di tengah Filipina dikuarantin, sekali gus mengehadkan pergerakan orang tua dan kanak-kanak manakala operasi perniagaan dari restoran ke gimnasium terjejas.
“Permintaan saya hanya untuk kita bertahan, ramai Banyak yang sudah dijangkiti,” kata Duterte dalam perutusan khas di televisyen tempatan, semalam.
Pasukan petugas khas COVID-19 berkata pihaknya akan melaksanakan perintah berkurung di daerah yang mencatatkan kes tertinggi di samping menggesa hospital kerajaan dan swasta meningkatkan jumlah katil untuk pesakit COVID-19.
Duterte berikrar memberikan vaksin percuma jika ia berjaya dihasilkan akhir tahun ini, dengan keutamaan kepada golongan miskin, kelas menengah, polis dan tentera.
“China akan mendahulukan Filipina dalam pengedaran vaksin itu nanti”.
“Saya berjanji kepada anda, menjelang Disember, dengan rahmat Tuhan, keadaan akan kembali normal,” katanya.
Pelbagai syarikat farmaseutikal termasuk di China, Amerika Syarikat (AS) dan Britain kini melakukan percubaan peringkat akhir menghasilkan vaksin untuk COVID-19.
Minggu lalu, Duterte berkata beliau sudah membuat permohonan kepada Presiden China, Xi Jinping, untuk menjadikan Filipina antara negara yang pertama menerima vaksin apabila ia dibangunkan nanti.
Setiausaha Kewangan Filipina, Carlos Dominguez dilaporkan berkata Filipina merancang membeli 40 juta dos vaksin bernilai AS$400 juta (RM1.6 bilion) untuk 20 juta orang, kira-kira lima peratus daripada 107 juta penduduknya.
Larangan perintah berkurung ketat dilaksanakan di Filipina pada pertengahan Mac lalu dan negara itu menjadi antara yang paling lama melaksanakan sekatan seumpamanya di dunia.
Keadaan itu melumpuhkan ekonomi Filipina, yang sebelum ini antara yang paling cepat berkembang di Asia sebelum wabak melanda. – AGENSI