Firma Jerman jangka tahun 2024 mencabar untuk Malaysia
KUALA LUMPUR,. Syarikat Jerman di Malaysia menjangkakan tahun 2024 mencabar berikutan ketegangan geopolitik yang berlaku di seluruh dunia, kemerosotan ringgit dan kadar faedah yang tinggi, kata Dewan Perdagangan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC)
Menurut tinjauan dwi-tahunan AHK World Business Outlook Fall 2023 MGCC yang fokus kepada sentimen firma Jerman yang beroperasi di Malaysia, mendedahkan bahawa 49 peratus syarikat dari negara itu berkata prospek untuk Malaysia tahun depan akan kekal sama, manakala 34 peratus berkata perkembangan ekonomi tempatan adalah positif.
Ditanya mengenai risiko ekonomi bagi syarikat dalam tempoh 12 bulan akan datang, 51 peratus responden berkata permintaan menjadi kebimbangan utama, diikuti kekurangan pekerja mahir (46 peratus) dan kadar pertukaran mata wang yang tinggi disebabkan kejatuhan ringgit (46 peratus).
Berdasarkan peristiwa global semasa, ramai responden meramalkan kadar faedah yang tinggi akan kekal di peringkat global, ia akan membebankan pelaburan dan pelabur baharu.
“Ketegangan geopolitik yang berterusan dan kebimbangan terhadap perairan Laut China Selatan yan sedang berlaku sekarang, ia adalah sesuatu yang tidak mengejutkan bahawa ketegangan geopolitik berada di kedudukan teratas dalam senarai. Menurut responden, perkara berkenaan akan memainkan peranan penting dalam membentuk kemajuan pada 2024.
“Satu lagi kebimbangan ialah halangan teknikal kepada perdagangan dan sekatan yang dilihat perniagaan sebagai halangan yang akan menjejaskan kestabilan rantaian bekalan,” kata Pengarah Eksekutif MGCC Daniel Bernbeck dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Daripada segi perbelanjaan, majoriti responden (49 peratus) berkata pelaburan mereka akan kekal sama, 39 peratus responden berhasrat untuk meningkatkan pelaburan, 7.0 peratus akan mengurangkan pelaburan mereka di Malaysia dan 5.0 tidak mempunyai pelaburan yang dirancang untuk tahun akan datang.
Bagaimanapun, pelaburan yang besar dijangka dibuat dalam bidang pengeluaran dan pembuatan (46 peratus), jualan dan pemasaran (43 peratus) dan perkhidmatan seperti pusat perkhidmatan yang dkongsi (41 peratus).
Tinjauan Perniagaan Dunia AHK itu dalah berdasarkan tinjauan syarikat ahli Dewan Perniagaan Jerman Luar Negara, Pejabat Perwakilan dan Perwakilan (AHK) dalam kalangan lebih 40,000 syarikat yang menjadi ahlinya di 92 negara di seluruh dunia.
Bernbeck berkata dalam persekitaran ketidaktentuan global yang berlaku, Malaysia menerima pakai beberapa mekanisme termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan menjadi sebahagian daripada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik perjanjian perdagangan bebas, ia akan menyokong transformasi negara bersama-sama dengan ekonomi di seluruh dunia.
“Strategi ini pada masa yang sama akan memastikan Malaysia kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
— BERNAMA