Fitnah: Muhyiddin diperintah bayar Guan Eng RM1.35 juta
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin membayar RM1.35 juta sebagai ganti rugi kepada Lim Guan Eng kerana menfitnah Pengerusi DAP itu berhubung pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain hari ini membenarkan saman Lim terhadap Muhyiddin setelah mendapati bekas menteri kewangan itu berjaya membuktikan kesnya.
Pada 27 Mac 2023 Lim menfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwanya membuat tiga kenyataan fitnah pada 9, 11 dan 12 Mac 2023 yang melibatkan beliau dalam isu pembatalan cukai itu.
Laporan berhubung isu itu kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.
Lim yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang turut mendakwa kenyataan itu membawa maksud beliau telah menyalah guna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri agar mengenakan cukai serta penalti terhadap Yayasan Albukhary, walaupun yayasan kebajikan itu diberi pengecualian.
Roz Mawar dalam penghakimannya berkata Muhyiddin mempunyai pelbagai sumber yang boleh digunakan untuk mengesahkan sama ada pemahamannya berhubung kenyataan yang dikeluarkan adalah betul.
Beliau berkata Muhyiddin bagaimanapun tidak berbuat demikian dan terus membuat kenyataan berbaur fitnah terhadap plaintif (Lim) selepas plaintif memberitahunya tentang kepalsuan dakwaan sedemikian dalam kenyataan fitnah itu.
“Tambahan pula sekarang keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan, tiada justifikasi untuk membuat kenyataan berunsur fitnah sedemikian. “Mahkamah ini mendapati defendan gagal membuktikan kebenaran dakwaannya,” katanya.
Roz Mawar seterusnya berkata mahkamah mendapati pembelaan yang mengatakan bahawa kenyataan itu adalah komen yang adil juga gagal, atas beberapa sebab yang kukuh.
Roz Mawar mendapati bahawa pembelaan Muhyiddin terhadap justifikasi, ulasan yang adil dan kelebihan yang selayaknya, adalah tidak mampan kerana kenyataannya tidak berdasarkan asas fakta yang benar.
Beliau juga berkata Muhyiddin dengan sengaja mencampuradukkan dakwaannya dengan merujuk kepada aspek bangsa dan agama dengan menekankan peranan Yayasan Albukhary dalam membantu umat Islam melalui kerja amalnya.
Pesuruhjaya kehakiman itu mendapati tempoh waktu komen Muhyiddin itu juga menunjukkan bahawa ia dirancang untuk mengalih perhatian daripada pertuduhan rasuahnya. Beliau berkata keterangan ketua bahagian cukai Kementerian Kewangan Hazlan Abdul Aziz menguatkan kes Lim dan melemahkan pembelaan Muhyiddin.
Pecahan mahkamah bagi ganti rugi adalah RM350,000 bagi setiap tiga kenyataan yang membawa kepada RM1.05 juta sebagai ganti rugi am, ditambah RM150,000 untuk ganti rugi teruk dan RM150,000 untuk ganti rugi teladan.
Mahkamah turut memerintahkan supaya Muhyiddin menarik balik ketiga-tiga kenyataan berunsur fitnah daripada semua akaun media sosialnya serta-merta.
Roz Mawar turut memberi injunksi bagi menghalang Muhyiddin daripada mengulangi kenyataan itu dan memerintahkan Muhyiddin membayar kos RM50,000 kepada Lim. Lim menghadiri prosiding hari ini bersama peguamnya Guok Ngek Seong, manakala Muhyiddin tidak kelihatan di mahkamah.
Peguam Chetan Jethwani, yang mewakili Muhyiddin, mengesahkan bahawa mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini.
Sementara itu Lim ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur dengan keputusan hari ini yang mana mahkamah menyatakan dengan jelas kenyataan Muhyiddin terhadapnya adalah palsu dan tidak berasas.
“Hari ini saya telah mendapat keadilan untuk membersihkan nama saya kerana sememangnya saya tidak buat. Sebaliknya, ia berlaku semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan tiada kaitan langsung dengan saya,” katanya.
— BERNAMA