FMM alu-alukan pelaksanaan semula GST, gesa kerajaan utamakan pemulihan ekonomi

FMM alu-alukan pelaksanaan semula GST, gesa kerajaan utamakan pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR,. Keutamaan perlu diberikan kepada tindakan untuk mengukuhkan ekonomi dan memulihkan situasi perniagaan agar lebih memberangsangkan, berikutan persekitaran domestik dan luaran yang suram akibat COVID-19, kata Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Presiden, Tan Sri Soh Thian Lai berkata hutang Malaysia dijangka terus meningkat sehingga mencecah 66 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir 2022, naik daripada 61 peratus pada 2021 dan 60.7 peratus pada 2020.

“Situasi ini membimbangkan kerana beban pembayaran hutang adalah ketara iaitu pada 17.2 peratus daripada jumlah unjuran hasil bagi tahun ini dengan tanpa aliran masuk yang stabil namun, aliran keluar perbelanjaan kerajaan adalah yang tinggi disebabkan peruntukan lebih besar bagi inisiatif rangsangan dan pemulihan Bajet 2022 untuk membantu negara pulih daripada kesan pandemik dan perintah kawalan pergerakan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata justeru, FMM mengalu-alukan pengumuman Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini mengenai kemungkinan pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan mengkaji kelemahan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada serta menambah baik sistem GST yang dilaksanakan pada 2015.

Soh berkata FMM telah menjadi penyokong kuat GST kerana sistem cukai itu adalah lebih telus dan berkesan berbanding SST, dengan lebih 160 negara melaksanakannya kerana ia merupakan struktur cukai yang adil.

“Lebih penting lagi, harga eksport Malaysia akan menjadi lebih kompetitif di peringkat global kerana tiada GST dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan eksport, manakala GST yang ditanggung ke atas input boleh diperoleh semula di sepanjang rantaian bekalan,” katanya.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh FMM pada Mei 2020 mengenai pengenalan semula GST, 499 syarikat yang menjadi responden telah memberikan sokongan padu terhadap GST untuk menggantikan SST yang dikenakan pada masa ini, katanya.

Beliau berkata pengilang juga telah mencadangkan penambahbaikan kepada GST agar ia menjadi lebih mesra pengguna dan perniagaan seperti pengurangan kadar GST kepada 3.0 hingga 4.0 peratus untuk menambah baik keadaan perniagaan.

Ini akan membawa kepada pelaburan dan peluang pekerjaan yang lebih besar, serta pendapatan boleh guna yang lebih tinggi untuk rakyat, katanya.

Hasil dapatan tinjauan mencadangkan penambahbaikan seperti memastikan mekanisme yang betul disediakan untuk memantau kawalan harga dan antipencatutan dalam pasaran apabila sistem cukai itu diperkenalkan semula.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This