Focus Dynamics beli 16.67 peratus kepentingan dalam top standard di Hong Kong
KUALA LUMPUR,. Focus Dynamics Group Bhd telah menyelesaikan langganan 192 juta saham baharu atau 16.67 peratus pegangan saham dalam pengendali restoran yang berpusat di Hong Kong, Top Standard Corporation (Top Standard).
Dalam kenyataan, katanya langkah itu selaras dengan pelan pengembangannya dengan Oversea Enterprise Bhd untuk membawa jenama Oversea ke peringkat antarabangsa.
Pengarah Eksekutifnya, Benson Tay Ben Seng berkata langganan itu telah selesai melalui anak syarikat milik penuh Focus Dynamics di Hong Kong, Focus Dynamic Group Ltd.
“Dengan pelaburan ini, Focus Dynamics dapat memanfaatkan Top Standard, penggiat industri lama yang telah memenangi pelbagai anugerah,” katanya.
Katanya kepakaran Top Standard dalam mengendalikan restoran di Hong Kong akan memberikan Focus Dynamics dengan pengendali siap guna dalam pelan untuk mengembangkan jenama Oversea dan turut menyediakan platform kepada syarikat untuk mengembangkan produk kumpulannya ke peringkat antarabangsa.
“Kepakaran mereka dalam industri dan pengetahuan dalam menjalankan restoran dan beroperasi dalam pasaran China dan Hong Kong amat berharga dalam pelan kami untuk mengembangkan EMP dengan jenama Oversea ke Shanghai dan Hong Kong,” katanya.
Focus Dynamics dijangka meningkatkan kedudukannya dengan perdagangan rentas sempadan antara rangkaian Hong Kong yang sedia ada dan dikendalikan oleh Top Standard, jualan silang produk makanan dan menggabungkan menu makanan untuk memberikan penawaran masakan yang inovatif, kreatif dan moden untuk meraih perhatian antarabangsa.
Disenaraikan dalam Growth Enterprise Market (GEM) Hong Kong sejak 2018, restoran Top Standard menawarkan hidangan Sichuan di bawah jenama ‘San Xi Lou’ dan telah menjadi hidangan utama dalam industri restoran Hong Kong, yang sentiasa menawarkan masakan China dan Jepun yang berkualiti tinggi.
— BERNAMA