FOKUS; Lupakan kekalahan – Mehmet Durakovic

KUALA LUMPUR,. Jurulatih Perak Mehmet Durakovic menggesa anak buahnya untuk melupakan kekalahan 0-7 kepada juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT), dan sebaliknya memfokuskan kepada perlawanan seterusnya menentang UiTM FC di Ipoh, pada Jumaat.

Jurulatih dari Australia itu berkata, kekalahan terbesar kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim itu seharusnya dijadikan teladan, untuk pemain mengelakkan daripada melakukan kesilapan yang sama, apabila menerima kehadiran UiTM FC di Stadium Perak.

“Apa yang penting ialah pemain perlu memastikan semangat mereka terus ada, dan mengembalikan keyakinan diri, kerana perlawanan menentang UiTM FC juga penting dalam memperbaiki kedudukan dalam Liga Super,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia, hari ini.

Perak pada ketika ini berada di kedudukan keenam Liga Super dengan lapan mata, selepas enam perlawanan (dua menang, dua seri dan dua kekalahan).

Dalam kenyataan sama, pengendali Pahang Dollah Salleh mendedahkan, beliau akan melakukan rombakan di bahagian tengah dan serangan, menjelang aksi Liga Super berdepan Polis Diraja Malaysia, di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu ini.

Skuad Tok Gajah yang mengutip enam mata selepas enam perlawanan, menerusi dua kemenangan dan empat kekalahan, kini berada di tangga kelapan daripada 12 pasukan.

Terbaharu, Pahang tumpas 0-1 kepada pasukan UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam, semalam.

“Memang saya kecewa apabila kita tewas kepada UiTM FC, dan memang saya sudah boleh jangkakan sebelum perlawanan, apabila pasukan kita ramai pemain yang cedera dan serba tidak menjadi.

“Sebab itu, saya akan membuat sedikit rombakan selepas ini berdasarkan keadaan sekarang, dengan Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos cedera, dengan situasi Mohamadou Sumareh lagi, jadi saya memang kena buat sesuatu khususnya di bahagian tengah dan serangan,” jelas bekas jurulatih skuad kebangsaan itu.

Pengurus pasukan Pahang Datuk Mohammed Suffian Awang sebelum ini mendakwa, Sumareh yang masih memiliki kontrak sehingga 2022, dikatakan tawar hati untuk terus mewakili pasukan berkenaan, selepas beliau dilaporkan gagal hadir ke sesi latihan skuad Tok Gajah sejak Julai lepas.

Pemain kelahiran Gambia itu yang juga pemain naturalisasi pertama negara, dilapor mendapat tawaran beraksi dengan sebuah kelab Thailand Police Tero FC, namun kelab berkenaan masih belum membuat pengumuman rasmi berhubung perkara tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )