![Gabungan PH-Bersatu Kedah dijangka tidak tahan lama – Ketua Pembangkang Gabungan PH-Bersatu Kedah dijangka tidak tahan lama – Ketua Pembangkang](https://thenusantaradaily.com/wp-content/uploads/2020/02/images-1-2.jpg)
Gabungan PH-Bersatu Kedah dijangka tidak tahan lama – Ketua Pembangkang
PENDANG,. Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah dijangka tidak mampu bertahan lama dan akan berpecah tidak lama lagi.
Ketua Pembangkang Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau percaya keputusan gabungan bagi membentuk kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan berubah selewat-lewatnya pada Isnin.
Namun, kata beliau, pihaknya sentiasa akur dengan apa juga keputusan yang dibuat majoriti Ahli DUN (ADUN) Kedah walaupun gabungan terbabit disifatkannya ibarat ‘gamat yang bercantum’.
“Mukhriz masih Menteri Besar. Kita akur dengan kehendak undang-undang dan pengumuman beliau bercantum balik dengan PH, walaupun dia (Bersatu) sudah keluar (dari PH).
“Tetapi di Kedah, (Bersatu) bercantum (dengan PH), ia jadi macam gamat. Kalau kena cincang, ia akan cantum balik. Kita tak ada masalah, tetapi kita memerhati dengan dekat.
“Kerana, kita yakin, pencantuman ini tidak akan bertahan lama. Dengan perkembangan di peringkat pusat, saya yakin akan ada perubahan di Kedah dan kita bersedia untuk apa sahaja.
“Selepas 2 Mac, akan berlaku perubahan, saya yakin akan berlaku perubahan, 100 peratus yakin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ceramah Perdana Hari Pertama Himpunan Anak Muda Istiqamah (HIMMPAH) di Kompleks Pas Kedah, malam tadi.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Pas dan UMNO Kedah di bawah kerjasama Muafakat Nasional sentiasa mengikuti rapat perkembangan politik tanah air.