Gambar Hishammuddin peluk Noh curi perhatian

Gambar Hishammuddin peluk Noh curi perhatian

SHAH ALAM: Perkongsian gambar oleh bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama sahabat baiknya, Tan Sri Noh Omar mencuri perhatian netizen. Ahli Parlimen Sembrong itu yang kini menjalani penggantungan daripada parti selama enam tahun mengambil peluang untuk melawat Noh di Tanjong Karang, yang dikatakan bakal menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Dari Sembrong ke Tanjong Karang, sahabat lama tetap dikenang. With my bro, Noh Omar,” kongsinya di Facebook.

Hishammuddin masih lagi aktif menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat walaupun digantung daripada parti.

Pada Isnin, beliau menegur tindakan beberapa pimpinan parti yang membuat pelawaan secara menyindir dan berseloroh kepada bekas ahli untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Jelasnya, tindakan itu menggambarkan mentaliti dan pemikiran kepimpinan UMNO sekarang dan ia tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenangi hati ahli-ahli di akar umbi.

Sementara Noh yang juga bekas Pengerusi UMNO Selangor dipecat parti pada 27 Januari lalu.
Beliau sebelum ini menyatakan mahu memastikan Parlimen Tanjong Karang sebagai kubu kuat PN, sekali gus membantu kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

– Agensi

CATEGORIES
Share This