Gangguan bekalan di Ampang pulih 61.9 peratus – Air Selangor

Gangguan bekalan di Ampang pulih 61.9 peratus – Air Selangor

KUALA LUMPUR,. Masalah gangguan bekalan air yang berlaku di 57 kawasan di Ampang akibat paip pecah di Rumah Pam Hulu Kelang, telah pulih 61.9 peratus sehingga pukul 8.00 malam tadi melibatkan 27 kawasan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan enam kawasan yang telah menerima bekalan air petang tadi, dilaporkan masih mengalami tekanan air rendah berikutan permintaan yang tinggi daripada pengguna, antaranya di Bukit Antarabangsa dan Bukit Jaya.

“Bagi mengurangkan beban pengguna, bantuan bekalan air menerusi 25 buah lori tangki terus digerakkan bagi memberi bantuan ke tempat-tempat terjejas.

“Pengguna boleh terus ke Pusat Khidmat Setempat (PKS) di AEON Big Ampang, Taman Dagang Permai, Ampang untuk mendapatkan bantuan atau boleh menghubungi talian 15300,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan terdahulu, Air Selangor menjelaskan kerja-kerja pembaikan paip pecah pada sistem paip di Rumah Pam Hulu Kelang telah siap dilaksanakan pada pukul 2.20 petang tadi dan bekalan air telah mula disalurkan ke kawasan-kawasan terjejas.

Namun pemulihan bekalan air kepada pelanggan bergantung pada kedudukan geografi dan altitud premis pelanggan, dan kawasan yang berhampiran sistem agihan dijangka menerima bekalan lebih awal dan begitu juga sebaliknya.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi telefon pintar Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This