Gangguan seksual: Lelaki perlu lebih berani tampil buat laporan – Nancy

Gangguan seksual: Lelaki perlu lebih berani tampil buat laporan – Nancy

JOHOR BAHRU,. Golongan lelaki yang menjadi mangsa gangguan seksual diminta bertindak lebih berani, dengan segera tampil melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa bagi memastikan jenayah itu dapat ditangani sebaiknya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata ini kerana golongan berkenaan didapati lebih gemar memendam perasaan sekiranya perkara itu terjadi kepada mereka.

Katanya gesaan berkenaan dibuat kerana tahap kesedaran terhadap perkara itu masih rendah, berikutan mangsa takut akan implikasi memandangkan kebiasaannya pelaku gangguan seksual di tempat kerja sering melibatkan pegawai atasan mereka.

“Daripada keseluruhan aduan mengenai gangguan seksual, hanya 10 peratus melibatkan mangsa lelaki. Mereka juga menerima gangguan seksual berbentuk sentuhan atau lisan. Kita tahu laporan polis tidak ramai buat tetapi di pihak kementerian, Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) menerima banyak aduan ini.

Oleh itu, kita galakkan golongan lelaki untuk lebih berani dan tampil membuat aduan, termasuk juga dalam kalangan kanak-kanak, khususnya pelajar sekolah. Kita tidak mahu ada kesulitan dalam menerima aduan sama ada lelaki atau wanita, layanan seharusnya tiada beza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail @ Md On.
Nancy berkata, sebanyak 477 kes gangguan seksual dilaporkan pada tahun lepas dengan 90 peratus daripada jumlah itu merupakan aduan daripada golongan wanita.

Justeru itu, pihaknya berharap dengan penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual dapat membantu mangsa membuat aduan sekali gus menambah baik sistem perundangan dan pengendalian aduan dengan cepat, mudah dengan kos yang minimum.

“Buat masa ini tribunal akan beroperasi di Semenanjung dan berpusat di Putrajaya, namun saya akan syorkan supaya wakil dari Sabah dan Sarawak turut dilibatkan bagi memudahkan aduan diterima dari kedua-dua negeri itu. Menerusi tribunal ini, tindakan boleh diambil daripada sudut sivil, jadi mereka boleh buat tuntutan, ‘compensation’,” katanya.

Pada 10 Okt lepas, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan perjawatan bagi penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual.

Berhubung Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual, Nancy berkata ia bertujuan menjadikan masyarakat lebih cakna mengenai isu gangguan seksual sekali gus tidak dianggap normal dalam masyarakat dan Johor menjadi destinasi terakhir tahun ini dengan kehadiran seramai 1,300 peserta.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This