Gerakan koperasi Sarawak mampu kuasai pasaran pertanian, makanan – SKM

Gerakan koperasi Sarawak mampu kuasai pasaran pertanian, makanan – SKM

KUCHING, 13 Sept — Gerakan koperasi di Sarawak mempunyai kekuatan dan mampu menguasai pasaran perniagaan terutamanya dalam bidang pertanian dan industri makanan, kata Timbalan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Zazali Haron.

Katanya keyakinan itu adalah berdasarkan data sehingga 31 Disember tahun lepas bahawa terdapat 1,077 koperasi di Sarawak dengan keanggotaan 264,155 orang, membabitkan jumlah syer RM196.41 juta, aset bernilai RM617.04 dan jumlah perolehan RM274.43 juta.

“Perniagaan secara berkoperasi semakin popular di Sarawak dengan kira-kira 70 peratus daripada jumlah yang berdaftar di negeri ini merupakan koperasi yang aktif,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan taklimat penubuhan koperasi di sini baru-baru ini.

Menurutnya SKM juga sedang melaksanakan proses pemutihan kepada 320 koperasi di negeri ini yang dikategorikan sebagai tidak aktif.

“Ketika ini 40 peratus daripada jumlah koperasi yang beroperasi di Sarawak adalah di luar bandar dan kita juga akan melaksanakan program untuk menggalakkan lebih ramai belia menjadi ahli koperasi di negeri ini,” katanya.

Terdahulu dalam taklimatnya, Zazali menyarankan pengamal media di Sarawak untuk menubuhkan koperasi bagi keperluan bersama dan menurutnya, SKM sedia membantu proses pendaftaran itu dan menyediakan bantuan asas bernilai sehingga RM50,000.

Katanya SKM turut menyediakan bantuan pengukuhan/pemantapan sehingga RM300,000 dan tabung bantuan kecemasan koperasi serta pembiayaan tanpa cagaran di bawah RM50,000.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This