#Getactive Fest 2019 tarik 10,000 peserta

PETALING JAYA,. Hampir 10,000 peserta hari ini menyertai tarian zumba menerusi program #Getactive Fest 2019 yang dianjurkan peruncit kesihatan dan kosmetik, Watsons.

Bertemakan Strong By Zumba, program #Getactive yang memasuki tahun keenam itu turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata penganjuran program itu diadakan bersempena sambutan Bulan Sukan Negara yang diraikan sepanjang Oktober ini.

“Ini merupakan program tahunan Watsons tetapi tahun ini lebih istimewa sebab selari dengan sambutan Bulan Sukan Negara.

“Kami sangat mengalu-alukan bukan sahaja agensi kerajaan tetapi juga syarikat-syarikat swasta, badan bukan ketajaan (NGO) malah orang ramai untuk turut ambil bahagian dalam Bulan Sukan Negara ini,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan program tersebut di Surf Beach, Sunway Lagoon, hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Watsons Malaysia, Caryn Loh berkata penganjuran program berkenaan adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan cergas kepada semua masyarakat di negara ini.

“Kita bangga kerana dapat meneruskan inisiatif kerajaan untuk Bulan Sukan Negara.

“Kita juga sangat bangga dan gembira kerana walaupun hujan, orang ramai tetap bersemangat berzumba kerana pada masa sama kita juga menggalakkan semua masyarakat untuk terus kuat bukan sahaja fizikal tetapi juga mental,” katanya.

Seorang peserta, Raja Norzaini Raja Amir Shah, 46, berkata program tersebut memberikan pengalaman baharu yang sangat menyeronokkan buat dirinya.

“Ini adalah pertama kali saya sertai. Saya sangat enjoy sebab ia but saya rasa aktif selain dapat memeriahkannya dengan peserta lain, ” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )