
Giroud bimbing Chelsea mara selangkah ke Liga Juara-Juara
LONDON,. Pengurus Chelsea, Frank Lampard, mengakui pasukannya bergelut dengan debaran ketika memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan selepas gol tunggal Olivier Giroud memastikan kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan yang sudah sah disingkirkan dari liga, Norwich semasa perlawanan di Stamford Bridge pada Selasa.
Kemenangan meletakkan Chelsea berkelebihan empat mata di tangga ketiga liga berbanding Leicester City dan Manchester United, yang kurang satu perlawanan.
Tetapi Lampard tahu masih ada banyak yang perlu dilakukan oleh pasukannya dengan kunjungan ke Liverpool dan ke Wolves, pasukan yang turut bersaing kelayakan di Eropah pada baki dua perlawanan musim ini untuk memburu kelayakan ke kejohanan kelab elit di Eropah.
“Saya mahu lebih banyak lagi tetapi ia boleh menunggu. Di mana kedudukan kami sebagai sebuah pasukan dan kedudukan dalam liga, tiga mata adalah segala-galanya,” kata Lampard.
“Jika kami benar-benar mahu terus melangkah, maka ia perlu lebih bagus. Ia bukan mudah, ada debaran untuk sebab yang boleh difahami.”
Lampard berang dengan pasukannya apabila tewas 0-2 di Sheffield United pada minggu lepas, menjejaskan peluang mereka untuk menamatkan musim di empat tangga teratas liga.
Bekas pemain tengah antarabangsa England itu melakukan lima pertukaran dari skuad yang tewas di Sheffield dengan Giroud antara pemain yang kembali dalam kesebelasan utama.
Chelsea sudah memperkuatkan jentera serangan untuk musim hadapan dengan membeli Timo Werner dan Hakim Ziyech.
Tetapi Giroud membuktikan keputusan beliau melanjutkan kontrak setahun lagi di kelab dengan menjaringkan gol kemenangan selain merupakan penyerang kelab paling berbisa sejak musim bola sepak di England disambung semula selepas tertangguh selama tiga bulan kerana pandemik koronavirus (COVID-19).
“Beliau adalah karektor yang besar bagi kami dan menjaringkan gol penting,” tambah Lampard.
Giroud mempunyai beberapa peluang awal sebelum akhirnya menembusi penjaga gol Tim Krull pada minit akhir sebelum rehat.
Christian Pulisic tidak bernasib baik menjaringkan gol apabila cubaannya ditepis Krul.
“Kadang-kadang saya berjaya, kadang-kadang tidak,” kata Giroud ketika bercakap tentang peluang yang ada. “Saya hilang sedikit keyakinan tetapi keazaman saya untuk menjaringkan gol adalah lebih tinggi, jadi saya mengekalkan fokus saya dan mengharapkan umpanan tepat.”
Norwich disahkan tersingkir dari Liga Perdana apabila tewas 0-4 kepada West Ham United minggu lepas.
Namun mereka mempamerkan aksi memberangsangkan dengan menafikan banyak cubaan Chelsea walaupun akur dengan kegagalan menjaringkan gol untuk perlawanan ketujuh dari lapan perlawanan dan tewas buat kali kesembilan berturut-turut.
Jentera serangan Norwich malah gagal menguji penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga untuk sepanjang permainan. — AFP