Global Oriental bekerjasama dengan syarikat Korea Selatan edar produk gelembung nano

KUALA LUMPUR,. Anak syarikat milik penuh Global Oriental Bhd, Global Nano Innovation Sdn Bhd, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Fawoo Nanotech Co Ltd (Fawoo) dari Korea Selatan untuk meninjau peluang perniagaan yang berpotensi.

Pengarah Eksekutif Global Oriental, Gan Vi King berkata, MoU itu membolehkan Global Nano dan Fawoo berunding secara eksklusif dan menetapkan syarat-syarat kerjasama bagi pengedaran dan pembuatan atau pembuatan (bersama) produk gelembung nano Fawoo berhubung dengan perjanjian yang akan dimeterai antara kedua-dua pihak.

“MoU itu diharap menjadi langkah pertama dalam usaha kumpulan Global Oriental dalam perniagaan perlindungan penjagaan kesihatan, yang mempunyai banyak potensi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kami melihat peluang berikutan rakyat Malaysia semakin mementingkan penjagaan kesihatan terutamanya semasa pandemik COVID-19.

“Teknologi ini akan membolehkan kami mewujudkan ruang yang selamat di kawasan awam dengan menggunakan air ozon gelembung nano di Malaysia dan Singapura.

“Memandangkan ia berasaskan air, kami yakin ia akan menarik perhatian masyarakat yang lebih luas berikutan cecair pembasmi kuman yang ada pada masa ini kebanyakannya berasaskan alkohol,” kata Gan.

Beliau berkata air ozon gelembung nano, yang mempunyai pelbagai aplikasi daripada penjagaan kesihatan hingga pertanian, menyatukan kuasa pembersihan semula jadi air dengan ozon dan teknologi gelembung nano moden untuk menghasilkan pembersih dan pembasmi kuman semula jadi yang selamat dan berkesan.

Cadangan kerjasama itu merupakan sebahagian daripada pelan pengurusan untuk mengenal pasti sumber aliran pendapatan lain untuk kumpulan Global Oriental, katanya.

Fawoo terlibat dalam pembangunan dan penyediaan penjana gelembung nano yang inovatif. Ia turut mempunyai beberapa paten ke atas pengadun dan tiub yang menjadi teknologi utama untuk menghasilkan gelembung nano.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )