Global Royalty saman Rosmah berhubung kehilangan 43 barang kemas

Global Royalty saman Rosmah berhubung kehilangan 43 barang kemas

KUALA LUMPUR,. Sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan memfailkan saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bagi menuntut US$14.57 atau RM67.46 juta, atas dakwaan melanggar kontrak berhubung kehilangan 43 barang kemas kepunyaan syarikat itu yang diserahkan kepadanya, lima tahun lepas.

Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Beirut selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan David Gurupatham dan Koay di Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Mac lepas dengan menamakan isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, selaku defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutan, Global Royalty mendakwa Rosmah, 71, telah berbohong dalam afidavit dan pembelaannya dengan menyatakan bahawa 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepada defendan telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.

“Oleh itu, defendan telah gagal dan cuai untuk memulangkan kepada plaintif baki 43 barang kemas berjumlah US$14.57 juta kepunyaan plaintif yang telah diserahkan kepada defendan pada 10 Feb 2018,” dakwa Global Royalty menerusi pernyataan tuntutannya.

Menurut plaintif, berdasarkan Surat Aku Janji yang ditandatangani oleh Rosmah bertarikh 22 Mei 2018, beliau mengakui bahawa barang kemas itu berada dalam simpanannya, dan kemudian disita oleh Kerajaan Malaysia.

“Bagaimanapun dalam usaha syarikat untuk mendapatkan semula 44 barang kemas daripada Kerajaan, hanya satu daripada 44 barang kemas dapat dikenal pasti dan diambil semula oleh wakil yang dilantik oleh plaintif daripada kerajaan,” kata plaintif dan memaklumkan bahawa barang kemas itu ialah Diamond Emerald Bracelet.

Global Royalty berkata adalah menjadi kewajipan defendan untuk menyimpan dan menjaga kesemua barang kemas itu dengan baik serta bertanggungjawab terhadap keselamatan barang kemas berkenaan.

Bagaimanapun plaintif mendakwa defendan telah memperdayakan plaintif dengan mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

“Oleh itu, defendan perlu bertanggungjawab untuk menanggung kerugian atas kehilangan 43 barangan kemas itu dan plaintif mempunyai hak menuntut ganti rugi,” menurut syarikat terbabit.

Syarikat itu memohon perintah mandatori supaya barangan kemas itu hendaklah dipulangkan kepada plaintif dalam keadaan baik bagi tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman dan sekiranya ia tidak dapat dikembalikan, defendan bertanggungjawab untuk membayar kepada plaintif kos barang kemas berjumlah RM67,461,027.37 bersamaan US$14,567,270 selain memohon faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam Datuk David Gurupatham, yang mewakili Global Royalty mengesahkan mengenai pemfailan saman itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This