GM Klang ubah lirik lagu tema, bawa mesej tangani COVID-19

GM Klang ubah lirik lagu tema, bawa mesej tangani COVID-19

SHAH ALAM,. GM Klang mengambil inisiatif mengubah lirik lagu tema pusat pemborong itu menjadi lagu kempen menentang COVID-19, sebagai Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) bagi mengajak orang ramai bersama-sama menangani wabak tersebut.

Menurut Jabatan Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam GM Klang, lirik lagu kempen itu turut membawa mesej memupuk semangat masyarakat supaya patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan ketika ini.

“Kita sedia maklum bahawa mesej melalui muzik amat mudah dan seronok untuk dihayati. Diharapkan dengan gubahan lirik lagu bagi kempen ini, ia mampu membangkitkan lagi kesedaran orang ramai untuk terus bersatu hati memutuskan rantaian pandemik COVID-19,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Video lagu kempen berdurasi satu minit 52 saat itu dimuat naik di laman sosial Facebook serta Instagram GM Klang sejak semalam dan setakat ini mencapai kira-kira 4,000 tontonan.

Menurut kenyataan itu, lirik, susunan muzik serta nyanyian lagu kempen berkenaan dihasilkan sepenuhnya kakitangan bahagian kreatif gedung beli-belah tersebut.

“Lirik lagu kempen ini juga menggabungkan tanda pagar # popular yang digunakan pengguna internet dalam membendung penularan wabak COVID-19.

“Penghasilan video ini juga sebagai tanda sokongan GM Klang kepada kempen-kempen membendung wabak tersebut dan diharapkan dapat menjadi siulan orang ramai sambil menghayati mesej yang ingin disampaikan,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, GM Klang turut berbesar hati sekiranya warganet menyanyikan semula lagu kempen tersebut dengan versi sendiri dan berkongsi hasil nyanyian mereka di media sosial dengan menyertakan tanda pagar #GMKlang supaya ia dapat dimuat naik semula oleh pusat pemborong itu di platform sama.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This