Golongan Terkaya Di India Turun Padang Bantu Kerajaan Perangi Covid-19

INDIA,. Susulan wabak COVID-19 yang semakin menular di India, seramai 1.3 bilion rakyat negara itu berdepan perintah berkurung selama tiga minggu sebagai langkah mengekang penularan virus berkenaan.

Di India setakat ini, sebanyak 529 kes sudah dicatatkan dengan 10 kematian, dan disebabkan jumlah yang kian meningkat itu menyebabkan Perdana Menteri, Narendra Modi mengambil langkah drastik dengan mengenakan perintah tersebut.

Namun, sebaik sahaja arahan itu dikeluarkan oleh Modi, industri perbankan dan perkilangan mula mengambil inisiatif dengan menawarkan bantuan kepada kerajaan mengikut kepakaran masing-masing.

Memetik laporan Forbes, lelaki terkaya di India, Mukesh Ambani (gambar) mengumumkan sebuah pelan jangka panjang yang melibatkan ‘pencegahan, pengurangan dan sokongan secara berterusan’.

Yayasan Reliance milik Ambani, dilaporkan menubuhkan kemudahan pusat saringan COVID-19 yang pertama di India dengan kelengkapan 100 katil yang mempunyai alat bantuan pernafasan (ventilator), alat pemeriksaan jantung dan mesin dialisis di Hospital Seven Hills di Mumbai.

Tidak cukup dengan itu, Reliance juga memberi bantuan makanan kepada orang ramai di seluruh bandar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 serta menawarkan bantuan bahan api secara percuma bagi kemudahhan pengangkutan hospital termasuk pesakit yang berada dalam tempoh kuarantin.

Selain itu, Hospital Yayasan Reliance juga mempunyai kemudahan pusat kuarantin dan mengimport lebih banyak kit ujian.

Tidak cukup dengan itu, pemain industri terkaya di India yang lain juga memainkan peranan dalam mengurangkan beban memerangi wabak COVID-19.

Ini antara usahawan lain di India yang turut menghulurkan bantuan :-

Anand Mahindra – Pengerusi Mahindra Group, menggunakan duit gajinya bagi membantu pihak yang memerlukan serta menubuhkan dana bertujuan membantu peniaga-peniaga kecil yang kini mengalami kesukaran. Mahindra sebelum ini juga mengatakan bahawa pasukannya bersedia bekerjasama dengan pihak kerajaan atau tentera untuk membina pusat penjagaan sementara.

Anil Argawal – Pemilik Vedanta Resources, mengumumkan penubuhan dana AS$13 juta (RM57 juta) yang disasarkan terutamanya di beberapa aspek iaitu pekerja gaji harian, kakitangan dan pekerja kontrak, petugas kesihatan dan komuniti yang terlibat dengan Vedanta.

Vijay Shekar Sharma – Pengasas platform pembayaran digital Paytm, menjanjikan bantuan sebanyak AS$ 650,000 (RM2.8 juta) bagi inovasi perubatan yang berkaitan dengan COVID-19.

Sridhar Vembu – Pengasas firma perkhidmatan Zoho Corp, mengumumkan Program Bantuan Langganan Kecemasan Perniagaan Kecil yang memberi manfaat kepada 20,000 pelanggan perniagaan kecil.

Raveendran – Pengasas Edtech Byju yang juga seorang jutawan menawarkan akses percuma ke aplikasi Byju, yang menawarkan pelajaran matematik dan sains bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun.

Manoj Bubna, Gautam Gurtoo dan Biren Shah – Pengasas Nitrogen, yang menawarkan perkhidmatan penggunaan platform digital secara percuma selama tiga bulan untuk hospital, kedai runcit dan farmasi.

Dalam perkembangan sama, perintah berkurung di India merangkumi penutupan sempadan masuk dan melarang pergerakan kecuali untuk perkhidmatan perlu.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )