GPS telah beri yang terbaik kepada rakyat Sarawak

GPS telah beri yang terbaik kepada rakyat Sarawak

KUALA LUMPUR,. Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat negeri itu sepanjang masa, tanpa menunggu waktu pilihan raya dalam memenuhi hasrat menjadikan Sarawak sebagai negeri maju dalam tempoh jangka panjang, kata Ketua Whip GPS di Parlimen Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata perkara itu antara lain terbukti ketika pandemik COVID-19, apabila kerajaan negeri tidak hanya bergantung pada peruntukan kerajaan persekutuan semata-mata dalam memberikan bantuan kepada rakyat agar tidak terlalu terkesan oleh krisis berkenaan.

“Sama ada dari segi bekalan makanan, bantuan kewangan malahan ratusan juta dibelanjakan untuk membantu rakyat dan petugas barisan hadapan, misalnya dalam membeli peralatan perlindungan diri.

“Sarawak negeri besar tapi kemudahan kesihatan agak terkebelakang dan menyedari kekangan dihadapi kerajaan persekutuan sekarang, peruntukan kerajaan persekutuan pun terhad, sebab itu kerajaan negeri ke depan dalam hal ini,” katanya ketika ditanya pemberita berhubung persiapan GPS dalam menghadapi pilihan raya negeri.

Terdahulu Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya membentangkan pencapaian kementeriannya sepanjang 2020 di Kompleks Kementerian Kerja Raya di sini pada Isnin (1 Mac).

Fadillah turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjaya menyelesaikan isu tuntutan Sarawak terhadap Petronas seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam tempoh kurang setahun.

“Begitu lama kita tuntut hak kita berhubung minyal dan gas akhirnya dapat diselesaikan, kita dapat bayaran malahan kita dan Petronas menjadi rakan kongsi strategik dalam membangunkan minyak dan gas di Sarawak,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This