GPS terima ‘lamaran’ Muhyiddin, setuju masuk Kabinet

GPS terima ‘lamaran’ Muhyiddin, setuju masuk Kabinet

PETRA JAYA,. Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersetuju untuk menyertai Kabinet Kerajaan Persekutuan yang akan dibentuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, bagaimanapun berkata, pihaknya mahu Kerajaan Persekutuan harus dikenali dengan nama Perikatan Nasional Plus GPS (PN+GPS).

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, ini kerana katanya, GPS adalah entiti yang berasingan dengan PN.

“Ya kami ada menerima ‘lamaran pertunangan’ daripada Perdana Menteri dan kami bersetuju untuk menyertai Kabinet beliau.

“Kami bersetuju menyertai Kabinet Persekutuan kerana mahukan wakil kita dalam Kabinet akan terus perjuangkan apa yang dikehendaki rakyat khususnya berkaitan kepentingan Sarawak menerusi GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, selepas menerima tawaran itu (jawatan Kabinet Persekutuan) dua hari lalu, beliau berbincang dengan Muhyiddin dan meminta agar Perdana Menteri menerima formula yang ditetapkan GPS.

“Beliau bersetuju dengan formula PN+GPS itu. Sebagai orang yang cukup berpengalaman, saya yakin beliau tahu kedudukan GPS,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga sudah menyediakan senarai nama Ahli Parlimen GPS untuk dipertimbangkan, namun beliau enggan menyatakan jumlahnya.

Ketika ditanya kemungkinan Datuk Seri Fadillah Yusof dicadangkan untuk kembali menerajui Kementerian Kerja Raya, Abang Johari berkata ia terpulang kepada Muhyiddin untuk menentukannya.

“Kita akan tahulah keputusannya nanti, mungkin Kabinet Persekutuan dalam dua tiga hari lagi,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This