Grab lancar program tingkatkan akses, maklumat vaksin untuk pihak berkepentingan

Grab lancar program tingkatkan akses, maklumat vaksin untuk pihak berkepentingan

KUALA LUMPUR,. Grab hari ini melancarkan program di seluruh rantau ini yang bertujuan meningkatkan akses dan maklumat mengenai vaksin untuk semua pihak berkepentingan di platformnya selain menggalakkan semua penumpang, pemandu dan rakan kongsi penghantaran mendapatkan vaksin.

Syarikat perkhidmatan e-hailing itu, dalam kenyataan hari ini, berkata bagi menyokong akses mudah vaksin COVID-19 dan menggalakkan pihak berkepentingan mendapat vaksin, Grab komited untuk memberi subsidi masa, kos dan usaha untuk pemandu dan rakan kongsi penghantaran.

“Kami juga melanjutkan dana perlindungan cuti perubatan mereka untuk menampung potensi kehilangan pendapatan akibat kesan sampingan daripada vaksin COVID-19 secara percuma dan meliputi kos vaksinasi untuk semua pekerja dan ahli keluarga terdekat mereka yang tidak dilindungi oleh skim vaksinasi negara.

“Bagi memerangi maklumat salah dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap vaksin COVID-19, Grab akan bekerjasama dengan kerajaan Asia Tenggara dan pihak berkuasa kesihatan untuk menerbitkan maklumat vaksin yang tepat dan kesihatan awam lain dalam aplikasi Grab,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Grab akan melancarkan survei COVID-19 Snap Survey, platform yang membolehkan kerajaan bekerjasama dengan Grab untuk menjalankan tinjauan kilat dalam kumpulan sampel yang luas untuk mengumpul data masa nyata mengenai sentimen vaksin.

“Grab merancang untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan tempatan di seluruh rantau ini untuk menawarkan sokongan mobiliti, komunikasi dan logistik bagi rancangan penggunaan vaksin negara melalui rangkaian armada daratnya dan aplikasi pengguna yang digunakan secara meluas.

“Matlamat kami adalah untuk mencapai status vaksin sepenuhnya untuk semua pekerja Grab, pemandu dan rakan kongsi penghantaran menjelang akhir 2022,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Operasinya, Russell Cohen, berkata pelancaran vaksin COVID-19 sedang menggerakkan Asia Tenggara ke dalam mod pemulihan dan ini akan membolehkan orang ramai dan perniagaan beroperasi dengan lebih yakin terhadap keselamatan mereka sendiri, memacu aktiviti ekonomi dan komuniti yang diperbaharui.

“Tetapi terdapat banyak cabaran untuk penyampaian vaksin, terutamanya di rantau yang luas dan pelbagai ini.

“Kami telah bekerjasama rapat dengan kerajaan di seluruh Asia Tenggara sepanjang tahun lepas untuk menangani cabaran pandemik di pelbagai bidang dan berharap dapat memainkan peranan kami dalam memastikan mereka mempunyai akses kepada maklumat dan sumber yang tepat untuk mendapatkan vaksin,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This