GRS cipta sejarah himpun pimpinan di ceramah perdana

GRS cipta sejarah himpun pimpinan di ceramah perdana

KOTA KINABALU,. Dua malam terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melakar sejarah apabila buat pertama kali menghimpunkan kesemua pemimpin parti gabungan di bawah satu bumbung pada ceramah perdana.

Bersama Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin di ceramah perdana itu ialah Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Arthur Joseph Kurup.

Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid, Naib Presiden PAS Senator Idris Ahmad, Setiausaha Agung (SUA) PAS Datuk Takiyuddin Hassan, SUA Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, SUA Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim dan calon (PN-Bersatu) DUN Petagas Datuk Seri Arsit Sedi.

Bercakap di hadapan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, Jahid menjelaskan bahawa gabungan berkenaan dibentuk atas kesediaan kesemua parti itu bergabung demi menyelamatkan Sabah.

Katanya, ketika pertemuan pertama diadakan bersama Muhyiddin, kesemua parti bersetuju supaya kerajaan alternatif ditawarkan kepada pengundi sebagai sebuah kerajaan yang stabil berdasarkan prestasi ditunjukkan pimpinan kerajaan pusat di bawah PN.

“Kami berkumpul di sini, kita bersatu hati untuk buat kesepakatan untuk tawarkan khidmat terbaik untuk selamatkan Sabah. Itu sangat penting dan saya melihat keseriusan pemimpin masa ini untuk kita sampai ke arah ini,” katanya.

Sementara itu, Yong yang juga bekas Ketua Menteri Sabah pula mengakui GRS adalah perkara terbaik yang pernah berlaku untuk rakyat Sabah.

“Ini ceramah pertama kali GRS… Konsep ini sudah wujud dulu, akhirnya menjadi kenyataan. Saya bangga dengan kejayaan ini. Ini kerana ia menggabungkan parti nasional dan parti tempatan,” katanya.

Mengakui tidak pernah bermimpi untuk berada sebaris dengan Yong, Wee pula mahu rakyat mengambil semangat Ketua Menteri Sabah pada 1996 itu untuk bangkit semula demi melihat masa depan negeri itu yang lebih cerah.

“Waktu saya masuk politik dahulu dia dah bersara, tetapi sekarang dia bangkit semula. Kalau dia boleh bangkit semula bermakna orang Sabah pun boleh bangkit semula,” katanya.

Wee yang juga Menteri Pengangkutan turut menyentuh bagaimana kerajaan pusat di bawah pimpinan Muhyiddin, satu kerajaan yang stabil, responsif dan sentiasa berusaha menjaga kebajikan masyarakat seluruh negara yang semestinya akan memberi manfaat kepada kerajaan negeri yang sehaluan dengannya.

Jeffrey pula berkata rakyat Sabah perlu menggunakan peluang kedua yang ada kini untuk membuat penilaian terbaik.

“Kerajaan ini yang kita telah cuba dua tahun, kita nampak bukan sahaja tiada pembangunan tetapi mereka tak ada hala tuju dan perancangan.

“Jadi, kerajaan Warisan ini perlu diganti semula, kita tak mahu, hanya ubah balik, tak mahu undur balik kita mahu maju ke hadapan.

“Maka rakyat mesti bersatu, bekerjasama dan pastikan kerajaan ada sekarang digantikan kerajaan prihatin yang juga dipimpin Muhyiddin Yassin,” katanya.

PRN pada Sabtu ini yang menawarkan 73 kerusi DUN ditandingi 447 calon daripada 15 parti akan menyaksikan seramai 1,088,711 orang rakyat Sabah layak mengundi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This