
Grs Strategi Terbaharu Pemimpin Persekutuan Rampas Pentadbiran Sabah – Shafie Apdal
SEMPORNA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jelas merupakan blok politik baharu yang dibentuk Persekutuan bagi membolehkan usaha mereka merampas pentadbiran negeri daripada rakyat tempatan berjaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, rakyat Sabah bagaimanapun bukan mudah dipersenda atau diperbodohkan dengan penubuhan GRS kerana tahu apa yang perlu dilakukan.
Tegas beliau, GRS sebenarnya langkah Persekutuan untuk menaja parti-parti politik kecil sebanyak mungkin demi mencapai hajat politik mereka.
“Tujuan mereka untuk menaja beberapa parti politik yang ada walaupun kecil tujuannya ialah memecah-belahkan dengan niat mereka untuk menumbangkan kerajaan yang ada.
“Tetapi saya yakin rakyat Sabah bukan semudah itu boleh dipersendakan, diperbodohkan mereka mempunyai hala tuju yang cukup jelas,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerjasama BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Sabah kini dikenali sebagai GRS.
Hakikatnya, ketika Muhyiddin menyatakan GRS akan berkerjasama, sebaliknya parti-parti komponennya bertembung sesama sendiri di 16 kerusi dalam PRN pada 26 September depan.
“Mereka banyak sangat gabungan mana satu gabungan yang berpakat ini sama ada sudahlah Muafakat Nasional, Perikatan Nasional inilah pula gabungan pelbagai,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan wartawan tentang industri pelancongan Sabah, katanya, Kerajaan Sabah mempunyai perancangan untuk membina lebih banyak kemudahan terutama di Semporna yang dikenali sebagai pusat pelancongan.
Bagaimanapun tegasnya, keutamaan perlu diberikan kepada sektor keselamatan untuk memastikan pelancong selamat.
“Alhamdulillah ada rezeki peningkatan pelancong-pelancong tempatan ke daerah ini dan saya difahamkan beberapa resort sudah kembali bukan seperti asal tapi ini kita boleh pulihkan tetapi yang penting pada kita keselamatan,” katanya.
-BT