Guru besar tinggal dalam stor sekolah lebih tiga tahun demi pendidikan anak muridnya

Guru besar tinggal dalam stor sekolah lebih tiga tahun demi pendidikan anak muridnya

TELUPID,. ‘Guru umpama lilin membakar diri menerangi orang lain,’ kata-kata yang amat cocok bagi mencerminkan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, George Odol, yang berkorban demi memberikan pendidikan untuk anak muridnya di kawasan pedalaman, di sini.

Masakan tidak, George sanggup tinggal di sebuah stor sekolah sejak dipindahkan ke sekolah tersebut lebih tiga tahun lalu pada pada Jun 2020, namun, beliau tidak pernah kesal ke kawasan pedalaman walaupun berdepan pelbagai kesukaran, kerana mahu memberikan pendidikan terbaik untuk anak bangsanya.

George, yang akan bersara wajib pada 27 Nov ini berkata, beliau tinggal di stor berkeluasan 2.74 meter lebar dan 4.87 meter panjang, disebabkan sekolah itu dibina tanpa ada kemudahan rumah guru walaupun berada jauh di pedalaman.

“Saya juga terpaksa berkongsi dapur dan kamar mandi untuk kelas pra-sekolah. Agak sedih juga lah seorang guru besar tinggal di rumah begini sahaja, sudah tiga tahun lebih. Apa boleh buat kami guru-guru terpaksa korbankan keselesaan datang ke sekolah pedalaman untuk anak (murid) kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perkongsian platform media sosial Tik Tok yang ditonton lebih 68,000 penonton sehingga berita ini ditulis dan perkongsian itu kini tular terutama dalam kalangan warganet di https://www.tiktok.com/@mr.george_odol/video/7301702844569128193

Telupid merupakan sebuah daerah di kawasan pedalaman Sabah dan SK Ulu Ansuan itu terletak kira-kira 230 kilometer dari Kota Kinabalu, dengan perjalanan antara lain menelusuri kaki Gunung Kinabalu serta jalan raya yang kurang baik dan jalan tanah merah.

Menceritakan tentang sekolah itu, George berkata, SK Ulu Ansuan mula dibina pada 1999 dan siap pada sekitar 2000 tanpa rumah guru, malah guru yang mula-mula dihantar ke sekolah ini tinggal di rumah orang kampung dan selepas itu kelas yang telah diubah suai.

“Enam tahun selepas itu PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) membina dua rumah untuk guru tinggal, tetapi ala kadar sahaja. Penghujung perkhidmatan saya, telah diluluskan pembinaan rumah panjang tujuh pintu untuk guru tetapi saya utamakan guru luar Telupid, tidak apa saya tinggal dalam stor ini,” katanya.

Beliau yang daripada etnik Kadazandusun berkata, kebanyakkan murid di kawasan pedalaman itu dari etnik yang sama, justeru ia memberikan semangat untuk dirinya meneruskan usaha mendidik anak bangsanya sendiri.

“Jika bukan kami guru (etnik) Kadazandusun datang ke sini untuk mendidik anak-anak ini di sekolah pedalaman, siapa lagi yang diharapkan. Inilah pengorbanan kami guru bertugas di kawasan pedalaman Sabah,” katanya yang menambah tidak membawa keluarganya tinggal di sekolah itu kerana isterinya juga seorang guru bertugas di SK Menanam, Telupid.

Sehingga berita ini ditulis, Bernama menghadapi kesukaran untuk menghubungi George kerana liputan telekomunikasi yang agak terhad di kawasan tersebut.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This