Gusar dibanjiri pelancong ketika ‘spring break’, Miami Beach laksana perintah darurat

Gusar dibanjiri pelancong ketika ‘spring break’, Miami Beach laksana perintah darurat

MIAMI BEACH: Bandar Miami Beach memulakan perintah berkurung dan darurat malam hari yang bertujuan untuk mengekang orang ramai keluar berparti kerana dikhuatiri akan menyebabkan peningkatan kes, sekali gus menghalang usaha untuk menurunkan angka jangkitan COVID-19.

Pelancong dari seluruh dunia, yang rata-ratanya adalah kumpulan remaja dan penuntut kolej yang sedang dalam cuti musim bunga atau spring break, membanjiri bandaraya ini sejak beberapa hari lalu.

Datuk Bandar Interim, Raul Aguila mengisytiharkan darurat di bandar itu yang bermula pada Isnin.

Polis telah membuat lebih dari 1,000 penahanan sejak 3 Februari, termasuk lebih dari 50 pada hujung minggu lalu. Akses menuju ke beberapa lokasi yang terkenal dengan hotel mewah dan kehidupan malam, turut ditutup.

Operasi kafe juga ditangguhkan dan restoran hanya dibuka untuk servis bawa pulang dan beroperasi sehingga jam 8 malam sahaja. Biarpun pihak berkuasa sudah bersiap sedia untuk menerima kehadiran pelancong ketika spring break dengan meningkatkan sekatan, tetapi ia tidak menghalang pelancong dari berkunjung dan berparti di bandar itu.

Florida merupakan antara negeri terawal yang membuka semula sektor pelancongan susulan wabak COVID-19, dengan semua premis makanan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh bermula September lalu.

Namun ia ternyata memberi impak besar dengan daerah Miami-Dade sahaja mencatat kira-kira 16,000 kes baharu dalam tempoh 14 hari lalu. Setakat ini, lebih 5,700 kematian direkodkan di daerah berkenan sejak wabak itu bermula.

-Agensi

CATEGORIES
Share This