Had maksimum 250 orang dibenar hadir rumah ibadat di Sarawak

Had maksimum 250 orang dibenar hadir rumah ibadat di Sarawak

KUCHING,. Jumlah kehadiran maksimum bagi upacara keagamaan di Sarawak kini ditingkatkan kepada 250 orang berbanding 100 orang sebelum ini.

Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor), Jabatan Ketua Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, kebenaran itu tertakluk kepada kapasiti ruang rumah ibadat terlibat dengan mengambil kira jarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

Sebelum ini Unifor menerusi satu kenyataan pada 16 Jun lepas membenarkan jumlah maksimum penganut yang boleh menghadiri upacara keagamaan pada satu-satu masa seramai 100 orang dengan pematuhan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Antara intipati SOP tersebut adalah tidak membenarkan mereka yang bergejala seperti demam, batuk atau sesak nafas, kanak-kanak bawah 12 tahun dan warga emas menghadiri sebarang upacara di rumah ibadat, melakukan proses sanitasi sebelum dan selepas upacara ibadat dilakukan serta menjalankan proses pengambilan suhu, penggunaan pelitup muka dan mengisi buku kehadiran jumlah jemaah.

Semua rumah ibadat yang berhasrat untuk membuka semula premis mereka pada 20 Jun ini dinasihatkan untuk melakukannya dengan berhati-hati berdasarkan kemampuan dan tahap kesediaan terhadap pematuhan SOP tersebut.

Pemakluman itu perlu dilakukan melalui ibu pejabat rumah ibadat masing-masing atau terus kepada Unifor sebelum pembukaan semula ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )