Haji: Inisiatif ibu bapa daftar awal beri peluang anak muda ke Tanah Suci

Haji: Inisiatif ibu bapa daftar awal beri peluang anak muda ke Tanah Suci

MAKKAH,. Inisiatif ibu bapa membuat pendaftaran haji sejak anak-anak masih kecil memberi kelebihan kepada anak muda menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Menerusi tinjauan Bernama, terdapat beberapa anak muda yang berjaya memperoleh tawaran sedemikian dan ada di antara mereka yang hadir secara berseorangan, bersama adik-beradik mahupun ibu bapa.

Seorang jemaah, Hajullah Putra Md Taib, 24, yang merupakan pelajar tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata tawaran kali pertama diterima pada hujung 2019, tetapi ia terpaksa ditangguhkan ekoran wabak COVID-19.

Kali ini beliau bukan sahaja menerima semula tawaran tetapi turut bernasib baik apabila tersenarai sebagai jemaah KT01 yang merupakan penerbangan pertama pada 4 Jun lepas.

Menurut beliau, ibunya Aeshah A. Hamid menjadi insan penting dalam memastikan dirinya didaftarkan haji sejak dari usia enam bulan iaitu pada 1998 dan ibunya juga telah berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada 2006.

“Semasa 2006 dan 2014 saya pernah mengerjakan umrah. Tetapi masa itu masih kecil dan remaja. Selepas 2014 saya mula ada rasa keinginan untuk mengerjakan haji…rasa rindu.

“Memang tak terjangka..sebenarnya saya tak kisah bila tarikh penerbangan, cuma berharap boleh datang ke Makkah sahaja tetapi ditakdirkan disenarai awal, dengan sambutan luar jangka bersama pelbagai cenderamata sampai tak cukup tangan nak pegang,” katanya.

Beliau, yang menuntut dalam jurusan teknologi maklumat berkata demikian ketika ditemui pemberita di bangunan ibu pejabat TH serta hotel jemaah Malaysia di Abraj Al Janadriyah.

Hajullah Putra berkata menerusi pengurusan Lembaga Tabung (TH) kelebihan yang diperoleh olehnya bersama jemaah haji lain bukan sahaja ketika di Kuala Lumpur tetapi juga di Madinah dan Makkah.

“Tak terucap dengan kata-kata, rasa syukur yang bukan sahaja berpeluang melakukan ibadah di Tanah Suci pada usia muda tetapi juga menerima layanan yang sangat istimewa daripada kerajaan Arab Saudi dan Lembaga Tabung Haji (TH),’” katanya.

Selain Hajullah Putra, seorang lagi anak muda iaitu Ahmad Ainullutfi Azzman, 29, turut berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci tahun ini, menerusi usaha ibunya membuat pendaftaran awal.

Beliau pernah menerima tawaran haji sebanyak lima kali iaitu pada 2008, 2012, 2015, 2019 dan tahun ini.

Menurutnya, tawaran pada tahun sebelum ini terpaksa ditolak kerana belum bersedia selain menghadapi kekangan kewangan serta komitmen lain.

“Memang ibu saya, Norhaliza Hanifah membuat pendaftaran haji sejak kami kecil. Bukan saya sahaja tetapi untuk semua adik-beradik yang lain.

“Sepatutnya saya ke sini bersama kakak tetapi beliau menolak kerana sedang menyambung pelajaran peringkat Doktor Falsafah (PHD), abang ditawarkan juga tetapi tak dapat datang kerana sambung belajar peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Seorang lagi abang saya pula terpaksa tangguh (tunaikan haji) ….jadi hanya saya seorang berangkat ke Tanah Suci kali ini,” katanya yang merupakan seorang pelukis grafik dan masih belajar peringkat Ijazah Sarjana dalam jurusan kaunseling keluarga di Universiti Sains Islam Malaysia.

Menurut Ahmad Ainullutfi, peluang menunaikan haji tidak akan disia-siakan dan beliau tekad hendak melakukan yang terbaik selain bersyukur kerana mempunyai ibu yang mempunyai kesedaran tentang pendaftaran awal haji anak-anak di TH.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This