Hajiji, Masidi, Ronald Kiandee menang ketua bahagian PPBM tanpa bertanding
KOTA KINABALU: Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor mengekalkan jawatan ketua bahagian Tuaran apabila tidak dicabar sehingga pencalonan ditutup pada Ahad.
Sesi pencalonan untuk pemilihan parti pada Ahad lalu menyaksikan tiada individu lain yang mengemukakan borang untuk mencabar Adun Sulaman itu. Timbalan Ketua PPBM Sabah, Masidi Manjun juga menang tanpa bertanding sebagai ketua bahagian Ranau.
Turut menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian ialah Setiausaha PPBM Sabah, Ronald Kiandee (Beluran); Ketua Penerangan PPBM Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan (Libaran); dan Bendahari PPBM Sabah, Mohd Arifin Mohd Arif (Kimanis).
Empat belas lagi juga memang tanpa bertanding antaranya Rahim Bakri (Kudat), Wetron Bahanda (Kota Marudu), Japlin Akim (Kota Belud), Mohamed Razali Mohamed Razi (Sepanggar), Faisyal Yusof Hamdan Diego (Kota Kinabalu), dan John Ambrose (Penampang).
Begitu juga Ghulam Haidar Khan Bahadar (Papar), Isnin Alisnih (Beaufort), Matbali Musah (Sipitang), Rubin Balang (Tenom), Azman Ruslan (Keningau), Abdul Ghani Yassin (Pensiangan), Awang Kadin Tang (Sandakan), dan Aksyah Nasrah (Kinabatangan).
Manakala 6 lagi bahagian lain kebanyakannya menyaksikan pertandingan 2 penjuru, kecuali Bahagian Putatan. Ronald berkata, semua 25 bahagian layak mengemuka pencalonan bagi pemilihan yang diadakan buat pertama kalinya. Katanya, Ketua Wanita PPBM Sabah, Azizah Mohd Dun bersama 20 lagi pemimpin sayap itu mengekalkan jawatan apabila turut tidak dicabar.
Mesyuarat PPBM peringkat cawangan akan dimulakan pada 15 Feb sehingga 29 Mac dan mesyuarat peringkat bahagian pula dijadualkan pada 18 April, manakala perhimpunan agung tahunan pula pada 25 hingga 28 Jun depan.
-Bernama-