Hamilton rindukan perlumbaan sukar di Litar Sepang

Hamilton rindukan perlumbaan sukar di Litar Sepang

KUALA LUMPUR,. Juara Formula Satu (F1) tujuh kali Lewis Hamilton, mengakui litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang ikonik, sehingga kini kekal sebagai litar perlumbaan paling sukar dalam kariernya, dan berharap akan dapat berlumba semula di situ.

Pelumba British berusia 37 tahun itu berkata SIC sebuah litar yang menarik dan sentiasa menjanjikan satu perlumbaan yang epik, ketika Grand Prix (GP) F1 Malaysia.

Bagaimanapun, Hamilton yang hanya pernah menang di litar itu pada musim 2014 berkata berlumba dalam kepanasan waktu tengah hari memberikan cabaran dari aspek fizikal, selain cuaca yang tidak menentu, menjadikan perlumbaan di litar sepanjang 5.53 kilometer (km) itu selalu menawarkan perlumbaan yang sukar.

“Saya masih ingat pada perlumbaan pertama saya di sini pada 2007, saya rasa saya di tempat kedua (dan) ia merupakan podium kedua saya dalam karier. Saya hilang empat kilogram pada perlumbaan itu, Saya masih ingat bagaimana sukarnya ketika hendak keluar daripada kereta.

“Pada tahun-tahun selepas itu kami alami pengalaman berbeza, bukan sahaja sangat panas tetapi kemudiannya hujan, kadang-kala apabila ia hujan, ia hujan dengan lebat. Saya sedih kami tidak dapat gunakan litar itu lagin tetapi saya tahu ia masih digunakan untuk GP Moto… semoga suatu hari nanti kami boleh lakukannya semula dan kami akan kembali,” katanya.

Hamilton berkata demikian pada sidang media Petronas dan Pasukan Mercedes-AMG F1, di sini hari ini.

Kali terakhir GP Malaysia dianjurkan ialah pada 2017, selepas kerajaan membuat keputusan untuk tidak menganjurkannya lagi selepas diadakan selama 19 tahun.

Sementara itu, Hamilton yang masih belum memenangi sebarang perlumbaan musim ini tidak melihatnya sebagai ‘kemarau kemenangan’ ataupun sebagai suatu ‘penamat’.
“Saya tidak melihatnya sebagai kemarau kemenangan… saya rasakan tahun ini merupakan tahun pembangunan … masih ada enam perlumbaan (lagi) jadi masih ada enam peluang dan kami akan cuba untuk menang, tetapi jika kami tidak lakukannya, saya tidak rasakan ia suatu penamat. Kami akan kembali ke tempat teratas,” katanya.

Hamilton masih mempunyai enam perlumbaan untuk menamatkan kemarau kemenangan dan mengekalkan rekod musim berturut-turut dalam F1 paling banyak dengan sekurang-kurangnya satu kemenangan GP, yang pada masa ini beliau kongsi bersama legenda dan rakan, juara tujuh kali Michael Schumacher.

Hamilton pada ketika ini berada pada kedudukan keenam terbaik pelumba dengan 168 mata, manakala pelumba Red Bull Max Verstappen akan memenangi kejuaraan dunianya yang kedua, jika pelumba Belanda berusia 24 tahun itu memenangi GP Singapura hujung minggu ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )