Hampir 2,000 penganut Kristian hadir ke Cathedral of St John rai Krismas

Hampir 2,000 penganut Kristian hadir ke Cathedral of St John rai Krismas

KUALA LUMPUR,. Hampir 2,000 penganut Kristian berkumpul di ‘Cathedral of St John’ di sini malam tadi bagi menghadiri upacara misa dan berdoa sempena sambutan Hari Krismas.

Paderi Paroki gereja berkenaan Gerard Steve Theraviam berkata orang ramai mula tiba sejak 6.30 petang lagi untuk upacara itu sebagai memperingati kelahiran Jesus.

“Kita baharu sahaja buat misa yang pertama khas untuk kanak-kanak dan ibu bapa yang hadir pada 7 malam. Misa yang kedua untuk mereka yang lebih tua pada 9 malam dan seterusnya pada 11 malam,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penganut Kristian yang hadir semalam diingatkan untuk sentiasa bersyukur dan mengingati rakyat di Palestin yang sedang menderita akibat serangan rejim Zionis Israel.

“Kita juga perlu mengingati mereka yang kurang berkemampuan dan mereka yang berada di tempat tiada keamanan,” katanya.

Sementara itu, pengunjung gereja, Dickson Liew, 19, berkata beliau bersama keluarganya yang datang dari Teluk Intan, Perak, gembira dapat mengunjungi rumah ibadat yang telah berusia 68 tahun itu.

“Saya dan keluarga sangat gembira sebab dapat datang ke sini. Pada tahun ini, kami buat sedikit kelainan dengan menyambut Krismas di sini (Kuala Lumpur),” katanya.

Alice Tan, 37, pula berkata beliau teruja dapat hadir ke gereja berkenaan yang dibuka semula semalam setelah ditutup sejak Februari lepas kerana kerja-kerja ubah suai.

“Saya gembira apabila dapat tahu gereja ini dibuka semula kerana sebelum ini saya selalu datang ke sini untuk menyertai kerja-kerja kebajikan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This