Harga minyak dunia terus susut

Harga minyak dunia terus susut

SINGAPURA,. Harga minyak meneruskan penurunannya hari ini, merosot lebih AS$1 setong, selepas pengurangan kadar kecemasan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) gagal untuk meredakan pasaran kewangan global yang panik dengan penularan pantas COVID-19 selain meningkatnya gangguan ekonomi.

Lebih banyak kerajaan mengambil langkah membendung dengan membatalkan penerbangan untuk mengekang virus, dengan menggesa perniagaan seperti restoran untuk menutup dan menggalakkan orang ramai berada di rumah.

Minyak mentah Brent susut AS$1.83 kepada AS$32.02 setong pada 2331 GMT, meneruskan penyusutan lebih 20 peratus minggu lalu.

Harga kontrak semasa dibuka pada paras tertinggi AS$35.84 tetapi menyusut kepada AS$31.63.

Minyak mentah Amerika Syarikat (AS) berada pada paras AS$30.20, susut AS$1.53 selepas jatuh di bawah AS$30 pada awal sesi, walaupun Presiden AS, Donald Trump berjanji untuk menambah rizab minyak strategik ke paras tinggi bagi pengguna minyak terbesar dunia itu.

Rizab Persekutuan AS mengurangkan kadar faedah pada Ahad dalam pengurangan kecemasan kedua bulan ini, dan berkata, ia akan mengembangkan lembaran tunai kira-kira AS$700 bilion dalam beberapa minggu yang akan datang.

Pasaran minyak berdepan tekanan hebat daripada kebimbangan mengenai permintaan berikutan penyebaran pandemik dan lebihan bekalan selepas pengeksport utama, Arab Saudi meningkatkan pengeluaran dan menurunkan harga untuk meningkatkan jualan kepada pengguna di Asia dan Eropah.

“Memandangkan kerajaan di seluruh dunia meningkatkan usaha mereka untuk membendung dan meminimumkan impak kesihatan dan ekonomi, peniaga berhati-hati terhadap lebih banyak maklum balas bank pusat,” kata Ketua Strategi Pasaran CMC Markets yang berpangkalan di Sydney, Michael McCarthy.

Bagaimanapun, katanya, pergerakan melampau dan ketidakstabilan yang lebih tinggi menunjukkan dagangan yang sukar akan berterusan.

-Reuters

CATEGORIES
TAGS
Share This