Hari Natal musim harapan, kemaafan dan keamanan – Dr Wan Azizah

Hari Natal musim harapan, kemaafan dan keamanan – Dr Wan Azizah

PUTRAJAYA,. Hari Natal adalah musim harapan, kemaafan dan keamanan bagi penganut agama Kristian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata sambutan Hari Natal juga adalah tentang harapan untuk membina hari esok yang lebih baik dan juga merupakan intipati kerajaan Pakatan Harapan.

“Kerajaan baharu ini ditubuhkan untuk membina masa depan yang lebih cerah untuk rakyat Malaysia. Satu pakatan dengan harapan untuk membawa negara kita ke arah kegemilangan.

“Jika ada yang merasa kedukaan pada masa sekarang, percayalah semakin pekat malam, semakin dekat hari nak siang. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk membina Malaysia baharu yang lebih baik,” katanya dalam perutusan Hari Krismas yang dikeluarkan oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata rakyat Malaysia harus bersyukur kerana pada tahun ini terus menikmati ketenteraman dan hidup secara harmoni, serta mengajak semua untuk mengingati budi dan jasa yang ditaburkan oleh ibu bapa yang tidak terhitung nilainya.

“Perayaan Hari Natal sentiasa dikaitkan dengan keluarga, kasih sayang, kesyukuran, amalan memberi dan sikap maaf bermaafan buat mereka yang meraikannya,” katanya.

Timbalan perdana menteri berkata seperti kebanyakan perayaan utama di negara ini, semangat kebersamaan ketara dengan rakyat Malaysia yang bukan beragama Kristian menantikan rumah terbuka rakan-rakan yang menyambut Hari Natal.

Dalam perutusan itu, Dr Wan Azizah juga memohon semua rakyat Malaysia supaya mengambil berat akan golongan miskin, uzur, terpinggir dan mereka yang memerlukan pertolongan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This