Hari pertama Pesta Morib 2019 dapat sambutan menggalakkan

MORIB, 14 SEPT: Orang ramai terutama penduduk di sekitar Kuala Langat digalak untuk berkunjung ke Pantai Morib bagi memeriahkan Pesta Morib 2019 yang berlangsung hari ini sehingga 16 September.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, beliau memuji inisiatif Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menganjurkan acara seperti itu. Katanya, ia sedikit sebanyak dapat mengembalikan zaman kegemilangan Pantai Morib yang dahulunya terkenal dengan aktiviti mandi-manda selain menjadi salah satu tempat pelancongan di Selangor.

“Walaupun hari ini hari pertama namun sambutannya saya lihat cukup memberangsangkan dan ramai juga pengunjung hadir membawa anak mereka. “Pantai Morib juga amat sesuai untuk seisi keluarga meluangkan masa beriadah dan inisiatif MDKL harus dipuji,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas Majlis Perasmian Pesta Morib dan Kempen 3R (Reduce,Reduce, Recycle) dan #BebasPlastik peringkat Kuala Langat Tahun 2019, di Pantai Morib di sini, hari ini.

Pada masa sama, Loy Sian menyeru masyarakat untuk tidak menggunakan plastik dan penyedut minuman plastik ketika membeli makanan minuman di Pesta Morib itu. “Saya harap kita bersama dapat menjaga kebersihan dan keindahan Pantai Morib ini dan mendidik diri untuk tidak meminta plastik serta penyedut minuman plastik daripada peniaga,” katanya.

Pengunjung hadir seawal 9 pagi ke ruang jualan di Majlis Kemuncak Kempen 3R Peringkat Daerah Kuala Langat Sempena #BebasPlastik Negeri Selangor, Pantai Morib. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
Pesta Morib 2019 bakal mencipta kelainan dengan mengetengahkan elemen udara, laut dan darat yang dijangka menarik minat lebih 30,000 pengunjung.

Difahamkan, lebih 15 acara menarik dirangka khusus kepada pengunjung sepanjang tiga hari pesta berlangsung di Pantai Morib, di sini. Antaranya, gerai jualan pertanian dan industri kecil sederhana, pameran dan jualan hartanah Kuala Langat, supa dupa, ‘toys fair’, pertandingan gasing moden (beyblade), pameran motosikal klasik, persembahan tarian tradisional, persembahan kebudayaan serta pertandingan mewarna.

Turut diadakan acara sukaneka rakyat yang pasti menjadi tarikan utama membabitkan penyertaan pelbagai bangsa di daerah ini seperti tarik tali, tuju tin, panjat tiang licin, pukul bantal dan layang-layang selain pertandingan permainan tradisional dam haji, congkak, kabadi serta xianggi.

Selain itu, Kejohanan Paragliding Terbuka Jugra 2019, pertandingan membina istana pasir, pertandingan bola sepak pantai, pertandingan ragbi 10 sebelah dan pertandingan memancing turut diadakan.

Orang awam bakal dihiburkan dengan persembahan nyanyian pada malam sambutan Hari Malaysia 2019 esok, manakala Isnin akan diadakan Morib Fun Run dan pertandingan Wau Tegak.

CATEGORIES
Share This