Hartalega catat untung bersih RM121.27 juta bagi suku ketiga

Hartalega catat untung bersih RM121.27 juta bagi suku ketiga

KUALA LUMPUR,. Keuntungan bersih Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) meningkat kepada RM121.27 juta pada suku ketiga yang berakhir 31 Disember, 2019 daripada RM119.75 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Perolehan pada suku tersebut melonjak kepada RM796.55 juta daripada RM723.39 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh peningkatan jumlah jualan, katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama, Hartalega mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM319.20 juta daripada RM364.84 juta, berikutan perolehan lebih tinggi sebanyak RM2.15 bilion daripada RM2.14 bilion pada tempoh yang sama setahun lepas.

Melangkah ke hadapan, syarikat terus optimistik terhadap prospek jangka panjang, disokong oleh peningkatan permintaan untuk sarung tangan getah dan perluasan Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Seterusnya (NGC) di Sepang.

“Barisan pertama Plant 6 telah ditugaskan pada Januari 2020 dengan baki barisan pengeluaran akan beroperasi secara berperingkat untuk menampung permintaan yang semakin meningkat. Plant 6 akan mempunyai kapasiti pembuatan tahunan sebanyak 4.7 bilion keping apabila selesai kelak, “katanya.

Sementara itu, Hartalega berkata Plant 7 juga dalam rancangan untuk diperluaskan bagi memenuhi pesanan jumlah yang rendah, memberi tumpuan lebih kepada produk khusus dan akan mempunyai kapasiti pembuatan secara tahunan sebanyak 3.4 bilion keping.

Dengan penugasan progresif Plant 6 dan 7, kapasiti pembuatan tahunan Hartalega dijangka meningkat kepada 44.7 bilion keping bagi tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mac, 2020 daripada 36.6 bilion saat ketika ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Hartalega mengisytiharkan dividen interim kedua satu tingkat sebanyak 1.8 sen sesaham untuk tahun kewangan 2020, selaras mengikut tarikh kelayakan pada 6 Mac, 2020 dan akan dibayar pada 27 Mac, 2020.

Pengarah Urusan Kuan Mun Leong berkata pertumbuhan permintaan dijangka berterusan terutamanya dalam jangka masa terdekat berikutan penularan 2019 novel koronavirus di China ketika ini.

“Kami komited untuk memainkan peranan kami dengan berkesan dengan memastikan penghantaran sarung tangan tepat pada masanya ke China untuk membantu usaha mengawal jangkitan tersebut. Sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat, kami telah berjanji untuk mendermakan sebanyak 2.58 juta keping sarung tangan untuk tujuan ini, “katanya.

Kuan berkata penghantaran sarung tangan pertama yang mengandungi satu juta keping kini sedang dalam perjalanan ke China, manakala baki penghantaran 1.58 juta keping akan dihantar pada bulan ini untuk derma menerusi anak syarikat Hartalega, Mun China.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This