Hartalega teruskan tindakan undang-undang terhadap kes penipuan sarung tangan

Hartalega teruskan tindakan undang-undang terhadap kes penipuan sarung tangan

KUALA LUMPUR,. Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) menasihatkan pembeli agar terus berhati-hati dengan penipuan operator yang menjual sarung tangan secara berterusan kepada pembeli berpotensi dengan membuat dakwaan palsu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Kuan Mun Leong dalam kenyataan hari ini berkata Hartalega bimbang ke atas penipuan berleluasa pihak berkenaan dan bersikap tegas terhadap mereka.

“Dakwaan mereka antaranya mempunyai bekalan sedia ada dan peruntukan sarung tangan nitril dan getah dengan jenama Hartalega, GloveOn.

“Rancangan penipuan mereka termasuk mendakwa sebagai penguntuk stok bagi Hartalega, memohon bayaran dimasukkan kepada akaun eskrow atau pihak ketiga dan menggunakan media sosial, antara lainnya untuk mendapatkan perniagaan,” katanya.

Kuan berkata keadaan ini berlaku disebabkan pandemik COVID-19 berikutan peningkatan permintaan sarung tangan.

Bagaimanapun, beliau berkata Hartalega telah mengambil tindakan berikutan kes penipuan ini dan membuat beberapa laporan polis sejak beberapa bulan lepas.

“Kami telah memulakan litigasi kepada seorang daripada pelaku ini, yang mana proses mahkamah sedang dilaksana. Kami sedang berbincang dengan penasihat undang-undang kami untuk memulakan tindakan undang-undang selanjutnya.

“Hakikat bahawa orang ramai telah diperdaya dengan penipuan operator ini merupakan jenayah serius terutamanya berikutan sarung tangan adalah kelengkapan perlindungan diri yang kritikal khususnya kepada pihak industri penjagaan kesihatan. Kami menggesa pembeli agar berhati-hati dengan kes penipuan melibatkan sarung tangan ini,” katanya.

Selain itu, Kuan berkata Hartalega tidak pernah meminta sebarang perniagaan di media sosial atau memohon pembayaran menerusi media sosial.

“Semua pesanan adalah secara terus kepada Hartalega dan hanya emel daripada domain kami iaitu @hartalega.com.my adalah sah.

“Kami mengeluarkan produk mengikut tempahan dan mengambil kira bekalan sarung tangan yang berkurangan di peringkat global pada masa ini, tiada lebihan stok atau kapasiti,” katanya.

Malah, beliau berkata produk GloveON yang dibeli di Malaysia adalah untuk penggunaan rakyat Malaysia sahaja dan bukan untuk tujuan eksport.

“Kami melakukan urus niaga secara terus dengan pengedar rasmi yang dilantik di laman web kami di https://gloveonglobal.com/mys/distributors/ dan tidak melantik broker atau penjual semua untuk tujuan eksport semula.

“Kami tidak bekerjasama dengan kilang lain di Malaysia atau kilang di luar Malaysia untuk mengeluarkan atau membungkus sarung tangan kami atau tidak melantik mana-mana pihak ketiga, mewakili Hartalega untuk mengeksport jenama kami iaitu GloveOn,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This