Harungi pelbagai cabaran akibat COVID-19, calon OKU SPM tetap cemerlang
KUALA TERENGGANU,. Hampir putus asa selepas peperiksaan ditangguhkan beberapa kali berikutan pandemik COVID-19, seorang calon Orang Kurang Upaya (OKU) Sijil Pelajaran Malaysia 2020 Wan Mohd Firdaus Wan Khalid, 18, berkata motivasi guru-guru telah membangkitkan semula semangatnya untuk mengharungi peperiksaan itu.
“Masa tu memang putus asa sebab kita dah buat persediaan tiba-tiba ditangguhkan pula. Mujurlah guru-guru sentiasa memberi semangat dan motivasi supaya kami semua kekal fokus walaupun pada masa itu kami pun tidak tahu bila SPM dapat diadakan,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai itu ketika dihubungi Bernama kelmarin.
Wan Mohd Firdaus yang buta mata kirinya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika berumur sembilan tahun itu berasa bersyukur kerana beliau memperoleh keputusan 9A iaitu 7A+ dan 2A dalam peperiksaan tersebut.
Anak bongsu dari enam beradik yang tinggal di Bukit Mentok di Kemaman itu berkata, beliau tidak pernah menjadikan keadaan fizikalnya sebagai halangan bagi mengejar cita-cita untuk menjadi seorang doktor.
Sementara itu, seorang pelajar daripada keluarga B40, Nurul Aliana Razak, 18, berkata beliau bersyukur berjaya meraih keputusan cemerlang meskipun pernah berasa tertekan kerana terpaksa membiasakan diri melalui sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Memang tidak sama belajar dalam talian berbanding secara bersemuka. Ada kala terdapat gangguan liputan Internet dan saya tidak dapat mengikuti sepenuhnya pembelajaran secara dalam talian itu,” kata pelajar SMK Seri Budiman itu yang memperoleh 7A (1A+, 3A, 3A-) dan 1C+ ketika ditemui Bernama.
Nurul Aliana juga berterima kasih kepada bapanya Razak Ismail, 61, yang bekerja sebagai buruh dan ibunya Ramlah Abdullah, 46 yang merupakan seorang suri rumah kerana sedaya upaya menyediakan segala kelengkapan untuknya menghadapi PdPR termasuk membelikan komputer riba dan melanggan perkhidmatan Internet.
Rakan baik Nurul Aliana, Faziera Faisal, 18, yang mendapat keputusan 6A, 1B dan 1C pula berkata, kejayaan itu didorong oleh datuk dan neneknya iaitu Maidin Maembong, 68, dan Rebi Mat, 66, yang telah membesarkannya sejak kecil bersama-sama bapanya setelah kedua-dua ibu bapanya terpisah.
“Ayah hanya bekerja sebagai mekanik. Datuk pula sudah pencen dan nenek sebelum ini mengambil upah menyapu di rumah orang,” katanya.
Bagaimanapun bekas pelajar SMK Seri Budiman tersebut setakat ini tidak berhasrat menyambung pelajaran ke universiti dan ingin mengambil kursus menjahit kerana mahu menjaga datuk dan neneknya serta membantu menampung perbelanjaan keluarga.
— Bernama