Hasrat miliki kenderaan terpakai lebur, ditipu ‘penjual’ media sosial
KUANTAN,. Impian seorang kontraktor untuk memiliki kenderaan pacuan empat roda pada harga murah bukan hanya tidak kesampaian, namun turut mendakwa kerugian RM14,412 selepas diperdayakan, dalam urusan pembelian menerusi laman sosial, awal bulan ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 53 tahun mendakwa, Ford Ranger terpakai itu diiklan di Facebook pada 3 Okt lalu pada harga RM36,000, menyebabkan dirinya berminat membeli kenderaan tersebut bagi tujuan kerja.
“Mangsa mendakwa telah berurusan dengan seorang suspek lelaki menerusi nombor WhatsApp yang tertera pada iklan itu pada 5 Okt lalu dan diminta untuk membayar deposit sebanyak RM2,500 serta menyerahkan salinan dokumen peribadi dan penyata bank bagi urusan pembelian.
“Mangsa mendakwa sekali lagi dihubungi suspek untuk membuat bayaran RM11,912 atas pelbagai alasan seperti bayaran pendahuluan, cukai jalan dan insurans, serta urusan menukar hak milik yang dijelaskannya pada 6 dan 7 Okt lalu, menerusi transaksi pemindahan wang ke akaun diberikan suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir menambah mangsa mendakwa suspek memaklumkan kenderaan itu akan dihantar ke rumah mangsa di Pekan dekat sini, dengan menggunakan perkhidmatan trak tunda dan turut memberikan nombor pemandu trak tersebut kepada mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa mendakwa pemandu trak tunda itu gagal menghantar kenderaan berkenaan dan kerap memberikan alasan apabila ditanya menyebabkan mangsa berasa ditipu oleh penjual dan pemandu tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
— BERNAMA