Hayati Hari Sarawak, elak perpecahan kaum

Hayati Hari Sarawak, elak perpecahan kaum

MIRI,. Rakyat Sarawak harus memahami bahawa bukan mudah untuk memperoleh kemerdekaan tanpa perjuangan dan pengorbanan.

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin mengajak rakyat menghayati dan memahami erti sebenar sambutan Hari Sarawak yang dirai setiap 22 Julai.

“Jangan biarkan apa juak bentuk ideologi ekstremis masuk dan memecahbelahkan perpaduan Sarawak kerana bukan mudah untuk kita mencapai kemerdekaan dan keamanan tanpa perlu mengangkat senjata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengibaran Bendera Sarawak sempena Hari Sarawak anjuran Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri di sini, semalam.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin memberitahu, tarikh keramat 22 Julai adalah hari terpenting buat Sarawak kerana ia adalah Hari Kemerdekaan Sarawak.

“Hari Sarawak telah diwartakan sebagai cuti umum sejak 2016 ketika Allahyarham Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem) menjadi Ketua Menteri kita.

“Ini adalah hari yang sangat bersejarah bagi Sarawak kerana ia adalah hari kita membentuk kerajaan kita sendiri, yang dipimpin Ketua Menteri kita ketika itu Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.

“Justeru semua bangunan, agensi dan sektor swasta digalak mengibarkan bendera Sarawak untuk memperingati hari ini,” katanya.

Lee berkata, dengan mengibarkan bendera Sarawak, ia dapat menanam rasa cintakan Sarawak dalam diri setiap masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

Malah katanya, pada tahun ini Kerajaan Sarawak menganjurkan beberapa acara sempena sambutan Hari Sarawak yang disiarkan secara langsung di laman sosial dan stesen penyiaran tempatan.

Pada masa sama, beliau menyeru agar suasana perpaduan dan semangat bersatu rakyat Sarawak dapat terus dikekalkan dan dipelihara sebaik-baiknya.

Kerajaan Sarawak katanya, akan terus memperjuangkan hak-hak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, ia penting agar rakyat mengetahui sejarah sebenar tentang peristiwa penting tanah air mereka.

CATEGORIES
TAGS
Share This