HDC gesa pelabur India manfaatkan pengetahuan halal Malaysia
BENGALURU (India), 30 Ogos — Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) menggesa pelabur India untuk mencontohi syarikat multinasional lain dalam memanfaatkan pengetahuan halal Malaysia bagi meningkatkan kehadiran pasaran mereka di arena global.
Pengurus Kanan Antarabangsanya, Ahmad Zulhilmee Hasan berkata sebagai contoh, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa syarikat Korea Selatan bekerjasama dengan syarikat halal Malaysia untuk menghasilkan dan mengeksport produk halal di seluruh dunia.
“Pada 2017, Shinsegae Food dari Korea Selatan bekerjasama dengan Mamee Double-Decker Sdn Bhd untuk menghasilkan produk makanan halal di Malaysia untuk dieksport ke negara-negara Timur Tengah dan Asia Tenggara.
“Manakala tahun ini, sebuah lagi syarikat Korea Selatan, Samyang Foods Co Ltd bekerjasama dengan FGV Holdings Bhd untuk membina kilang pembuatan ramen halal di Malaysia bagi pasaran tempatan dan global,” katanya kepada Bernama di luar pameran Global Halal India Expo 2019, di sini, hari ini.
Ahmad Zulhilmee berkata selain syarikat Korea Selatan, syarikat Jepun seperti Ajinomoto Co Inc dan Lion Corporation, serta konglomerat pemprosesan makanan dan minuman multinasional Switzerland Nestle juga membina kilang pembuatan halal mereka di Malaysia untuk membekalkan produk halal ke seluruh dunia.
Bagaimanapun, beliau berkata syarikat India masih belum memanfaatkan pengetahuan halal Malaysia secara besar-besaran.
Beliau berkata setakat ini hanya sebuah syarikat India yang menggunakan pengetahuan halal Malaysia untuk membina kilang pembuatan menghasilkan kekacang dan legum di Taman Halal Nasional Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada 2012.
“Dan pelaburannya agak kecil, bernilai antara RM5 juta dan RM10 juta,” katanya.
Justeru, Ahmad Zulhilmee menggalakkan pemain pasaran India memanfaatkan tenaga kerja industri halal Malaysia serta persijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diiktiraf dunia untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.
Antara insentif utama yang disediakan Malaysia bagi pelabur halal asing adalah elaun cukai pelaburan 100 peratus (bagi perbelanjaan modal kelayakan dalam tempoh 10 tahun), pengecualian daripada cukai jualan dan duti import ke atas bahan mentah, serta penolakan berganda perbelanjaan yang ditanggung dalam mendapatkan standard kualiti antarabangsa, katanya.
“Pelabur India perlu menggunakan Malaysia sebagai papan loncatan untuk meningkatkan perniagaan mereka. Sekiranya Korea Selatan dan negara-negara lain boleh menjadikan industri halal sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mereka, mengapa tidak India” katanya.
Ahmad Zulhilmee berkata pelabur India seharusnya bukan sahaja memanfaatkan pengetahuan halal Malaysia tetapi juga keupayaan kita untuk mengembangkan industri halal dan menghubung pemain pasaran ke peringkat serantau dan seluruh global.
“Mereka perlu datang ke Malaysia dan menjadikan Malaysia pintu masuk bagi menembusi pasaran yang diingini menerusi halal sebagai daya tarikan nilai,” katanya.
Edisi kedua Global Halal India Expo 2019 yang bermula hari ini sehingga 1 Sept, menarik profesional industri seperti suruhanjaya perdagangan India dan dewan perniagaan Islam, pengimport, pengedar, pembeli, pengunjung serta agensi dan organisasi berkaitan halal.
— BERNAMA