HDC kembangkan operasi di Jepun, China, Korea, Taiwan

HDC kembangkan operasi di Jepun, China, Korea, Taiwan

KUALA LUMPUR,. Halal Development Corporation (HDC) merancang untuk mengembangkan operasinya di Jepun, Korea, Taiwan dan China dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Hairol Ariffien Sahari berkata negara-negara itu telah menerima jumlah pengunjung beragama Islam yang tinggi setiap tahun.

Bercakap kepada Bernama pada World Halal Night & Halal Excellence Award 2020 di sini hari ini, beliau berkata perbadanan itu turut menyasarkan untuk meningkatkan eksport halal Malaysia dan menarik lebih banyak pelaburan dalam ekosistem industri halal domestik sebagai langkah langsung untuk menangani defisit perdagangan dalam produk halal.

Beliau berkata perbadanan itu akan memanfaatkan empat produk dan perkhidmatan terasnya, iaitu latihan, perundingan, Halal Park dan Platform Bersepadu Halal (HIP) untuk merealisasikan matlamat itu.

“Kami sedar bahawa sebagai sebuah negara, Malaysia masih banyak bergantung kepada import produk halal,” katanya, sambil menambah Malaysia mengimport produk halal bernilai US$25 bilion (US$1=RM4.15) pada tahun lepas, berbanding eksport hanya US$10 bilion.

Hairol berkata HDC akan mengukuhkan lagi tekad dan meningkatkan usahanya untuk memulihkan ekonomi tempatan, terutamanya selepas pandemik COVID-19.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat 200,000 perusahaan kecil dan sederhana terlibat dalam perniagaan berkaitan halal di Malaysia, tetapi menegaskan bahawa hanya 8,000 syarikat yang diperakui halal, termasuk 1,500 syarikat adalah pengeksport.

Sehubungan itu, Hairol berkata pelbagai langkah perlu diambil untuk meningkatkan jumlah perniagaan yang mempunyai sijil halal bagi meningkatkan jumlah pengeksport halal di negara ini.

Pada 2019, nilai eksport produk halal Malaysia sebanyak RM40.2 bilion, dengan China menjadi destinasi eksport terbesar sebanyak RM4.7 bilion, diikuti Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Indonesia.

Pada masa ini, Malaysia merupakan antara sumber rujukan utama kepada lebih 150 negara dalam pelbagai bidang dalam pembangunan dan tadbir urus industri halal.

— BERNAMA

Oleh S Kisho Kumari

CATEGORIES
TAGS
Share This