Helikopter bomba hantar bantuan makanan untuk mangsa banjir terputus hubungan
SIBU,. Bantuan makanan kering dihantar kepada 140 ketua isi rumah (KIR) di empat rumah panjang yang terjejas banjir di daerah Bukit Mabong di Kapit dengan menggunakan khidmat helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pegawai Daerah Bukit Mabong Robert Liman Deli berkata bantuan tersebut diagihkan kepada mangsa yang tidak dapat berpindah di sekitar hulu Sungai Mujong melibatkan rumah panjang (Rh) James Saka Bujai yang mempunyai 63 KIR, Rh Ejon Aji (24 KIR), Rh Umbar Bunsu (31 KIR) dan Rh Ambu Sungai Tiau dengan 22 KIR.
Beliau berkata empat rumah panjang itu adalah antara sembilan rumah panjang di daerah itu yang terjejas susulan banjir dan tanah runtuh yang mengakibatkan perhubungan jalan raya terputus.
“Sebanyak dua kali penerbangan dibuat di mana penerbangan pertama menuju Rh Umbar Bunsu dan Rh Ambu di Sungai Tiau, manakala penerbangan kedua menuju Rh James Saka Bujai dan Rh Ejon Aji,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Selain itu kakitangan dari empat sekolah rendah turut terjejas iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Mujong Tengah, SK Nanga Tiau, SK Nanga Oyan dan SK Oyan Tengah.
Sebelum ini bantuan makanan telah dihantar ke Rh Jimmy Jarraw Kumbang di Nanga Sekeroh, Rh Saba Duat (Nanga Segerugo), Rh Nawin Salau (Nanga Sungai Oyan), Rh Anting Mangai (Batu Bansu) dan Rh Alex Jawong di Sungai Suau.
— BERNAMA