Helikopter operasi padam kebakaran di Sri Aman terpaksa berpatah balik akibat jerebu

Helikopter operasi padam kebakaran di Sri Aman terpaksa berpatah balik akibat jerebu

KUCHING,. Sebuah helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sepatutnya terbang daripada Miri untuk operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di Sri Aman dan Betong, di sini, terpaksa berpatah balik akibat jerebu.

Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman berkata helikopter berkenaan terbang daripada Unit Udara Bomba dan Penyelamat, Miri, pagi tadi namun, terpaksa berpatah balik sebaik tiba di kawasan Niah, disebabkan jarak penglihatan di udara hanya sekitar 500 meter.

“Justeru atas nasihat Kawalan Trafik Udara demi keselamatan krew, walaupun mereka berusaha untuk bantu kita tetapi mereka terpaksa berpatah balik,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, beliau menyerahkan bendera kontinjen JBPM Sarawak sempena pertandingan Fire Fighter and Rescue Exercise Challenge di sini, hari ini.

Selain helikopter berkenaan, sebuah lagi aset udara iaitu pesawat Bombardier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dikerahkan ke dua kawasan berkenaan bagi memadam kebakaran di tiga lokasi iaitu Kampung STC, Jalan Tisak Beyong dan Jalan Kejatau.

“Kampung STC berdekatan dengan bandar Sri Aman, dua lagi adalah kawasan separuh ladang dan separuh hutan, kita diminta tangani segera supaya tak jadi penyumbang kepada jerebu,” katanya.

Mengenai pesawat Bombardier yang tiba di Unit Udara Tentera Udara Diraja Malaysia Kuching daripada Miri pagi tadi, Khirudin berkata, ia akan memulakan operasi pemadaman sebaik persediaan logistik dan taklimat selesai diadakan.

Bagi operasi melalui darat, katanya mesyuarat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusi Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pagi tadi telah meluluskan penggunaan tujuh jengkaut untuk membuat laluan masuk ke kawasan kebakaran, menggali lubang takungan untuk sumber air, seterusnya menakung air untuk tujuan pemadaman api secara besar-besaran.

“Pasukan Gerakan Am juga telah diminta untuk membantu dari segi logistik, pengangkutan dan mengangkat peralatan,” katanya.

“Kita harap dengan bantuan ini dan juga pergerakan pasukan kita selain dari Kuching, dari Bitangor dan Sarikei akan bantulah operasi pemadaman, kita diberi tempoh secepat mungkin, pada kami tiga atau empat hari,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This