Hentikan percaturan politik, tunggu pandemik COVID-19 reda – Penganalisis

KUALA LUMPUR,. Hentikan segala percaturan politik untuk menjatuhkan kerajaan atau menukar Perdana Menteri, dan tunggu sehingga pandemik COVID-19 reda, gesa penganalisis.

Ini susulan peringatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu supaya ahli politik menghentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Bagi geostrategis Prof Dr Azmi Hassan, nasihat Seri Paduka itu ialah kerana pada ketika ini pandemik COVID-19 yang melanda negara agak menggerunkan serta mengejutkan, dan kerajaan perlu diberi ruang untuk menanganinya.

“Bila keadaan sudah reda, kalau mempunyai majoriti boleh dilakukan (politiking). Tunggu sebentar, kalau rakyat boleh bersabar dan berkorban, saya tidak nampak kenapa ahli politik tidak boleh berkorban,” katanya dalam temu bual eksklusif Buletin Bernama yang disiarkan di Bernama TV malam ini.

Azmi berkata keputusan Seri Paduka bahawa tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini adalah bertepatan kerana undang-undang sedia ada iaitu Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sudah mencukupi bagi menangani pandemik COVID-19.

“Jika saranan ini tidak diambil kira, kesannya akan dilihat pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, jadi kepada ahli-ahli politik, berhati-hati kerana rakyat sedang memerhati.

“Rakyat berasa muak dan jemu dengan ‘political maneuvering’ dan percaturan politik ini kerana ahli politik dilihat hanya mementingkan agenda politik dan bukannya mementingkan agenda rakyat,” katanya.

Turut senada dengannya pensyarah Fakulti Kulliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar yang berkata Malaysia tidak ada keperluan mengisytiharkan darurat kerana akta sedia ada sudah memadai.

“Apa yang patut kita buat ialah kerjasama antara agensi yang perlu dipertingkatkan dan diperkukuhkan, begitu juga dengan hubungan di antara kerajaan pusat dan negeri, kita dapat lihat kerajaan negeri memang ada autonominya sendiri, begitu juga kerajaan pusat.

“Pada masa yang sama kerajaan negeri juga sepatutnya diberikan ruang dan kebebasan untuk membuat keputusan dalam sesetengah perkara (dalam menangani COVID-19),” katanya.

Hari ini Seri Paduka Baginda bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )