‘Hentikan tohmahan ‘kerajaan pintu belakang’, rampasan kuasa’ – Sultan Selangor
SHAH ALAM,. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan, rakyat sudah penat dan gelisah melihat pergolakan politik yang melanda negara sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.
Titah baginda, ahli-ahli politik dilihat sering berbalah dalam isu-isu politik yang tiada berkesudahan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar mereka untuk melaksanakan amanah mentadbir bagi faedah dan kesejahteraan rakyat yang ketika ini sedang mengalami kesempitan hidup yang amat sangat.
“Kos sara hidup semakin hari semakin meningkat akibat kemelesetan ekonomi dunia, matawang ringgit yang semakin merudum, peluang pekerjaan yang semakin mengecil mengakibatkan pengangguran meningkat dan terakhir sekali penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia tatkala ini,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14, di sini, hari ini.
Yang turut berkenaan menghadiri istiadat berkenaan adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Baginda bertitah, dalam menghadapi krisis dan kemelesetan ketika ini, rakyat memerlukan tumpuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam menyelesaikan segala permasalahan.
Titah Sultan Selangor, perkara itu hanya akan dapat dicapai dengan melaksanakan dasar yang boleh memangkin pertumbuhan ekonomi mampan serta menguntungkan rakyat.
“Bukan sibuk berbalah dalam merebut kuasa dan kedudukan. Wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk bekerja serta berkhidmat membantu rakyat demi memastikan rakyat dapat mencapai kemakmuran serta menikmati kekayaan Selangor,” titah baginda.
Sultan Selangor turut menzahirkan harapan supaya ada kerjasama erat di antara kerajaan negeri dengan Persekutuan selain tidak mahu perbezaan tampuk pemerintahan dan ideologi politik menyebabkan rakyat negeri ini terpinggir dalam arus pembangunan ekonomi dan sosial.
“Sebagai Sultan, beta bertanggungjawab untuk menasihati Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian agar tidak melakukan sesuatu tindakan yang tidak bertanggungjawab yang boleh merugikan rakyat beta.
“Beta sedar, dalam menegakkan pemerintahan berkonsepkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, Institusi Raja tidak sepatutnya dilihat terlibat secara langsung dengan isu-isu yang berkaitan dengan politik dan seharusnya kekal sebagai sebuah badan yang mengatasi politik (above politics),” titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga menitahkan supaya tohmahan terhadap pentadbiran negara yang didakwa sebagai kerajaan pintu belakang atau rampasan kuasa, harus dihentikan segera.
Ini kerana titah baginda, tohmahan seumpama itu adalah tidak tepat sama sekali kerana Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah diberi kuasa menggunakan budi bicara seperti diperuntukkan dalam undang-undang.
“Baru-baru ini, kita melihat perubahan kepada tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh kerajaan Perikatan Nasional bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan.
“Beta sendiri mengikuti perkembangan perubahan kuasa tersebut yang dilaksanakan Yang di-Pertuan Agong dengan cukup berhati-hati selaras dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada pihak tentera, polis, bomba serta anggota keselamatan yang bertugas dengan dedikasi bagi memastikan keselamatan rakyat dan negeri terus dalam keadaan aman dan sejahtera.