Hormat antara satu sama lain, jangan sentuh isu sensitiviti dan agama – Saarani

Hormat antara satu sama lain, jangan sentuh isu sensitiviti dan agama – Saarani

IPOH,. Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mengingatkan semua ahli parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan di negeri ini supaya menghormati antara satu sama lain serta tidak menyentuh perkara melibatkan sensitiviti kaum dan agama yang boleh mengundang perpecahan.

Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional Perak berkata setiap perbezaan perlu diurus dengan baik supaya ia menjadi asbab kekuatan dalam memastikan kestabilan kerajaan.

“Benar, kita tidak mempunyai pandangan yang sama pada setiap masa. Kita juga tidak mempunyai pandangan yang sama dalam semua perkara.

“Namun, dalam apa jua keadaan, kita mampu mengurus perbezaan sehingga akhirnya dapat menyatu dalam membuat keputusan yang terbaik untuk negeri dan rakyat. Bagi saya, itulah antara keindahan dalam kita mengurus perbezaan,” katanya dalam ucapan dasar sempena Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Saarani berkata setiap pimpinan parti juga seharusnya sentiasa meletakkan perpaduan sebagai manifestasi utama bagi menolak api perkauman yang sering dimainkan oleh pihak pembangkang.

“Kita perlu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa hanya perpaduan sahaja yang mampu membawa Perak mengorak langkah lebih jauh ke hadapan menjadi sebuah negeri maju dan progresif serta mencintai keamanan,” katanya.

Menurut Saarani konvensyen berkenaan akan diperluas di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Perak bermula tahun ini bagi berkongsi pandangan, pendapat serta kefahaman antara satu sama lain.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata kerajaan Perak akan mengkaji impak pelaksanaan skim tidak berpencen melibatkan penjawat awam baharu negeri yang dilantik secara tetap.

“Tiada sebarang kertas (penjelasan) yang kita terima. Kalau boleh saya nak baca dan hadam dahulu keputusan yang akan dibuat oleh Kabinet.

“Kerajaan negeri juga akan meneliti untuk melihat kesannya kepada sistem pentadbiran negeri,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )