Hujan berterusan punca banjir di beberapa daerah di Sarawak

Hujan berterusan punca banjir di beberapa daerah di Sarawak

KUCHING, 13 Jan — Hujan lebat sejak Isnin lalu menyebabkan beberapa kampung dan kawasan perumahan di sekitar daerah Kuching, Serian, Bau dan Padawan dinaiki air hari ini.

Tinjauan Bernama sepanjang hari ini mendapati berlaku kejadian tanah susur di jajaran Jalan Padawan antara Kampung Peraya dan Kampung Patos malam tadi.

Antara kawasan lain yang turut dilanda banjir akibat hujan lebat adalah Kampung Sira, Simpok dan Kampung Jambu di Padawan, Maang, Sekuduk, Pelaman Payang, Lintang Baharu di Tarat, Serian dan Siniawan di daerah Bau dan Kampung Bratan di Jalan Puncak Borneo, Padawan.

Sementara itu, dua kejadian tanah susur memusnahkan sebuah rumah di Kampung Garung dan dua buah di Kampung Annah Sadir.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, yang juga Timbalan Menteri Industri Peladangan dan Komoditi, Willie Mongin yang meninjau kawasan yang terjejas serta menemui mangsa kejadian, berkata pusat khidmatnya akan segera menghantar bantuan makanan dan keperluan lain kepada mangsa terlibat.

Katanya, beliau juga akan berusaha membantu kerja membaik pulih rumah-rumah yang rosak sementara beliau menyeru agensi berkenaan menyegerakan kerja membaik pulih kawasan tanah runtuh.

Wilie berkata beliau akan melawat ke kawasan terlibat dan menemui keluarga yang menjadi mangsa musibah berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata tanah susur amat mudah berlaku di kawasan Puncak Borneo memandangkan kajian oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia mendapati struktur tanah tidak kukuh disebabkan kegiatan penebangan pokok, ditambah pula hujan lebat yang berterusan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This