Hutang langsung tinggi kerana kerajaan tolak amalan pembiayaan luar belanjawan sembunyi hutang meragukan — MOF

KUALA LUMPUR,. Kementerian Kewangan berkata hutang langsung Malaysia meningkat daripada 50.1 peratus berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2017 kepada 51.2 peratus pada 2018 untuk membiayai secara langsung defisit fiskal kerana kerajaan menolak amalan pembiayaan luar belanjawan bagi menyembunyikan hutang-hutang yang meragukan seperti yang diamalkan oleh pentadbiran terdahulu.

Meskipun peningkatan ini, kerajaan berjaya mengurangkan jumlah hutang dan liabiliti daripada 79.3 peratus berbanding KDNK pada 2017, kepada 75.4 peratus pada 2018, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejak Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Mei 2018, semakan semula yang menyeluruh telah dilaksanakan terhadap obligasi kewangan kerajaan dan ia mengesahkan bahawa hutang dan liabiliti kerajaan sehingga akhir 2017 adalah sebanyak RM1.087 trilion.

Angka ini turut disahkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang dalam laporan mereka bertarikh 17 Julai 2019.

“Sebahagian besar daripada jumlah ini merupakan hutang dan liabiliti yang sengaja disembunyikan ataupun dipaparkan sebagai perkara luar belanjawan oleh pentadbiran terdahulu.

“Ini termasuk hutang 1MDB sebanyak RM38.3 bilion yang didapati telah dibayar balik secara rahsia oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada ketika itu,” katanya.

Lim berkata liabiliti lain sebanyak RM260.1 bilion termasuk perbelanjaan kerajaan luar belanjawan yang dinyatakan sebagai Kerjasama Awam Swasta (PPP) atau Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

“Namun, kos pembiayaan, risiko dan obligasi kesemua projek ini dipikul oleh kerajaan Persekutuan. PPP dan PFI telah disalahgunakan oleh kerajaan BN untuk memberi tanggapan palsu bahawa defisit belanjawan adalah rendah dan diiringi oleh paras keberhutangan yang lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata Pejabat Perdana Menteri berkuasa sepenuhnya dalam menyahlabur pelbagai aset bukan-teras dan bukan-kritikal untuk mengimbangkan kembali portfolio kerajaan dan menjajarkan kembali peranan sektor awam.

Hasil daripada penyahlaburan, apabila dikembalikan kepada perbendaharaan kerajaan dalam bentuk dividen, akan diperuntukkan ke arah pengurangan hutang dan liabiliti kerajaan.

Lim berkata kerajaan sedang berusaha secara aktif untuk mendapatkan kembali aset untuk dana yang telah diselewengkan daripada 1MDB di serata dunia

“Sebanyak RM925.1 juta telah dapat dikembalikan sehingga kini, tidak termasuk penjualan kapal layar mega Equanimity untuk RM523 juta.

“Kami tetap komited terhadap usaha konsolidasi fiskal, dan pada masa yang sama memastikan Malaysia dapat kekal berkembang secara mampan, walaupun suasana ekonomi global yang lemah,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This