
Ibrahimovic kembali ke AC Milan
MILAN,. Bintang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic kembali ke Itali semalam selepas dua bulan berada di negaranya, Sweden ketika Serie A bersedia menyambung latihan berpasukan dalam tempoh seminggu.
Ibrahimovic dilihat tiba di Milan sambil memakai pelitup muka dan sarung tangan sebelum dibawa ke pusat latihan pasukan dekat Milanello.
Pemain Sweden itu dijangka akan menjalani kuarantin dua minggu sebelum menyertai rakan sepasukan yang sudah menyambung latihan individu minggu lalu.
Latihan berkumpulan dijadualkan bermula 18 Mei.
Pemain berusia 38 tahun itu kembali ke Sweden pada 12 Mac selepas Serie A digantung kerana pandemik COVID-19 melanda Itali dan Eropah.
Ibrahimovic berlatih di Sweden dengan pemain dekat Hammarby, kelab divisyen satu yang sebahagiannya dimilikinya secara bersama.
Tidak seperti sebahagian besar Eropah yang mengehadkan latihan atlet, peraturan di Sweden lebih longgar. – AFP