Ibu bapa diingatkan untuk terus memantau kegiatan anak-anak

Ibu bapa diingatkan untuk terus memantau kegiatan anak-anak

KUCHING: Para ibu bapa diingatkan untuk terus memantau kegiatan anak-anak terutama mereka yang melangkah ke alam remaja. Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, ia sebagai langkah memastikan anak-anak tidak terjebak dengan kegiatan tidak bermoral seperti penyalahgunaan dadah.

“Saya ingin berpesan kepada ibu bapa supaya sentiasa menjaga dan pantau anak-anak kita pada zaman sekarang.

“Saya berkata demikian kerana anak-anak kita terutama di kawasan luar bandar mudah terdedah kepada perkara-perkara negatif seperti pengambilan dadah.

“Selagi jalan kita tembus menembus, semakin banyak pembangunan di kawasan maka semakin mudah benda-benda seperti dadah ini didapati,” katanya yang dipetik menerusi laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Terasi Iban di Sadong Jaya Sabtu lalu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Penghulu Pawi Sidi, Ketua Kaum Kampung Terasi Iban Andi Ranga, Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan Bojeng Ali dan tetamu kehormat lain.

Sekiranya isu pengambilan dadah ini tidak dibendung, Rodiyah menambah, ia akan menyebabkan masalah vandalisme seperti berlakunya kecurian harta benda awam seperti mencuri kabel pada pencawang elektrik.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris memaklumkan telah meluluskan projek naik taraf Dewan Masyarakat Kampung Terasi Iban di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Tahun 2024.

Projek tersebut katanya, diluluskan setelah beliau sendiri turun melawat ke tapak dewan tersebut pada Jun lepas bagi melihat sendiri keadaan serta keperluan untuk menaik taraf dewan di kampung tersebut.

“Pada tahun lepas, kita telah mendirikan dewan dengan kos RM200,000 dan tahun ini saya tambahkan lagi sebanyak RM150,000 untuk tujuan naik taraf dewan tersebut.

“Saya sendiri telah pergi ke tapak dewan tersebut pada bulan lepas bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat keperluan yang diperlukan bagi tujuan naik taraf.

“Naik taraf dewan tersebut akan meliputi pembinaan tempat letak kereta, bekalan elektrik dan air, tandas serta pentas di mana ia akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan akan membantu menyiapkan projek tersebut sekiranya masih ada lagi peruntukan yang diperlukan.

-UKAS

CATEGORIES
Share This