IJM Land sasar mulakan projek ‘Light City Penang’ pada suku-1 2020
GEORGE TOWN,. Pemaju hartanah IJM Land Berhad merancang memulakan projek pembangunan bandar bersepadu ‘Light City Penang’ dengan nilai pembangunan kasar RM4.5 bilion di The Light Waterfront pada suku pertama 2020.
Pengarah Urusannya Tan Hun Beng berkata Fasa 1 pembangunan projek itu termasuklah pusat komersial bersepadu dan gedung membeli belah, sebuah hotel empat bintang dengan 500 bilik bersama menara pejabat, kawasan kediaman yang dinamakan ‘Mezzo’ terdiri daripada 456 unit kondominium dan stesen Transit Aliran Ringan Transit (LRT) di bawah laluan Bayan Lepas LRT.
Beliau berkata pembangunan Fasa 1 itu dijangka siap pada 2023, tiga tahun selepas pelancaran projek tersebut.
Sementara itu, katanya, Fasa 2 projek tersebut akan melibatkan pembesaran gedung membeli belah dengan menambah keluasan sebanyak 3,500 kaki persegi lagi (325.16 meter persegi), pembinaan sebuah lagi hotel dan menara pejabat dan kawasan kediaman yang dinamakan Essence, terdiri daripada lebih 300 unit rumah,” katanya kepada Bernama selepas majlis malam penghargaan media, malam tadi.
Pembangunan Fasa 1 dan Fasa 2 memiliki nilai pembangunan kasar masing-masing sebanyak RM3 bilion dan RM1.5 bilion.
Menurutnya, projek pembangunan itu pada awalnya merupakan sebuah projek sekali gus tetapi kemudiannya dipecahkan menjadi dua fasa ekoran keadaan ekonomi semasa.
“Sebagai contoh, projek stesen LRT itu sebenarnya telah diluluskan oleh kerajaan negeri sudah lama tetapi kini keseluruhan projek pembangunan itu dipecahkan menjadi dua fasa berbeza dan kami telah menyerahkan semula cadangan projek kami dengan beberapa pindaan kecil,” katanya.
Tan berkata cadangan itu dijangka diluluskan akhir tahun ini.
— BERNAMA
Oleh Goh Kok Guan