Impian kanak-kanak hidap kanser otak rasa jadi anggota bomba tercapai

Impian kanak-kanak hidap kanser otak rasa jadi anggota bomba tercapai

KUANTAN,. Bapa kepada kanak-kanak yang menghidap kanser otak jenis Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DIPG) tahap empat Ahmad Danial Ahmad Suhairi kelihatan bangga apabila melihat anaknya mengenakan pakaian seragam anggota bomba lengkap dengan tanda nama.

Ahmad Suhairi Ali, 33, berkata walaupun anaknya tidak boleh menunjukkan sebarang reaksi, namun beliau percaya anak sulung daripada tiga beradik itu berasa gembira lebih-lebih lagi apabila berpeluang menaiki jentera bomba.

“Danial (panggilan Ahmad Danial) memang ingin sangat menjadi anggota bomba. Setiap kali melihat jentera atau aksi anggota bomba, dia akan teruja dan beritahu bomba adalah wira penyelamat yang hebat.

Saya harap ini menjadi kenangan paling manis untuk anak dan berterima kasih kepada semua yang menjayakannya,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Program Untukmu Danial: Potret Seorang Pejuang di Masjid Beserah di sini, pada Sabtu.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohammad yang turut memandu jentera bomba dinaiki Ahmad Danial melalui sekitar Beserah selama hampir 10 minit.

Ahmad Suhairi berkata Ahmad Danial, 7, dikesan menghidap penyakit itu pada Mac lepas, apabila menjalani pemeriksaan di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini ekoran keadaan matanya yang juling.

“Kami beranggapan mungkin Danial hanya mengalami sindrom ‘mata malas’ namun setelah pemeriksaan, doktor mengesahkan dia menghidap kanser otak sebelum disahkan sebagai kanser jenis DIPG.

“Kanser otak DIPG adalah sangat jarang ditemui dan dikatakan tidak memberi peluang sembuh kepada penghidapnya dengan kadar survival ialah sifar, namun kami masih mengharapkan keajaiban akan berlaku dan akan terus berusaha sebaik mungkin,” katanya.

Ahmad Suhairi berkata kesihatan anaknya yang sebelum ini belajar di Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Irsyad di sini, merosot dengan cepat dan hanya terlantar serta tidak lagi mampu memberi respons fizikal sejak Mei lepas.

Disebabkan sifat kanser itu, Ahmad Suhairi berkata Danial tidak dapat menjalani sebarang rawatan seperti kimoterapi atau radioterapi dan diisytiharkan berada dalam keadaan paliatif dan kini bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk menguruskannya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This